Ketua ONPE Peru letak jawatan selepas didakwa seleweng pilihan raya

Foto AFP

LIMA, 14 Mei – Pilihan Raya Umum di Peru dicemari isu Ketua Badan pilihan raya berkenaan, Piero Corvetto meletak jawatan susulan terpalit isu penyelewengan proses pilihan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Corvetto meletak jawatan beberapa jam sebelum dijadual disoal siasat oleh pejabat pendakwa raya.
  • Surat peletakan jawatan ditujukan kepada ketua Lembaga Kehakiman Negara dan diterima sebulat suara.
  • Tiga pegawai ONPE turut akan bertemu pendakwa raya kerana didakwa mengganggu hak mengundi.
  • Kelewatan membuka pusat mengundi di Lima menghalang lebih 50,000 pengundi dan memaksa lanjutan waktu mengundi 24 jam.

Corvetto, meletakkan jawatannya pada Selasa, hanya beberapa jam sebelum beliau dijadual hadir ke pejabat pendakwa raya untuk disoal siasat.

“Saya harap peletakan jawatan saya menyumbang kepada keyakinan yang lebih besar dalam pilihan raya,” kata Corvetto menerusi kenyataan yang disiarkan di akaun media sosialnya.

Surat itu ditujukan kepada ketua Lembaga Kehakiman Negara (JN) yang menerima peletakan jawatannya sebulat suara.

Corvetto telah bertanggungjawab memimpin Pejabat Proses Pilihan Raya Kebangsaan (ONPE) sejak 31 Ogos 2020.

“Saya menganggap perlu dan mustahak untuk meletak jawatan demi kepentingan mengatur dan mengendalikan pusingan kedua pilihan raya presiden agar kepercayaan orang ramai yang lebih besar terhadap ONPE,” jelasnya.

Selain Corvetto, tiga pegawai ONPE yang lain akan bertemu pendakwa raya kerana didakwa mengganggu hak mengundi.

Corvetto menyifatkan penyelewengan yang direkodkan ketika pilihan raya di Lima pada 12 April sebagai masalah teknikal dan operasi.

Masalah berkenaan menyebabkan kelewatan dalam pembukaan pusat mengundi di ibu negara Peru dan menghalang lebih 50,000 orang daripada mengundi serta memaksa lanjutan 24 jam waktu mengundi iaitu sesuatu yang belum pernah berlaku di Peru.

Pemerhati pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) merujuk isu tersebut sebagai “pelanggaran serius” tetapi menyatakan tiada bukti objektif penipuan seperti yang didakwa oleh calon ultrakonservatif, Rafael López Aliaga.

Lembaga Pilihan Raya Negara (JNE) iaitu pihak berkuasa pilihan raya tertinggi negara berkenaan menganggarkan keputusan akhir tidak akan diketahui sebelum 15 Mei berikutan kelewatan pengiraan undi yang dijalankan oleh ONPE.

Kertas undi yang dibuang telah mencabar rekod pilihan raya di samping tuduhan penipuan membayangi hari pilihan raya sekali gus menyaksikan pengiraan undi presiden terbantut.

Situasi itu juga menyemarakkan ketidakpercayaan terhadap institusi ONPE yang telah lama lemah.

Rakyat Peru masih tidak tahu siapa yang akan menentang calon sayap kanan Keiko Fujimori pada pusingan seterusnya dijadual 7 Jun ini.

Calon radikal Roberto Sánchez dan López Aliaga berada di tempat kedua dengan Sánchez mendahului 14,000 undi setelah hampir 94 peratus undi dikira.-AFP