Arab Saudi umum denda 100,000 riyal jika langgar syarat permit haji

Foto hiasan

RIYADH, 16 April – Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan senarai hukuman termasuk denda hingga 100,000 riyal Arab Saudi terhadap individu yang melanggar peraturan berkaitan permit haji bagi musim haji tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Denda sehingga 20,000 riyal dikenakan ke atas individu yang menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit dan pemegang visa lawatan memasuki Makkah.
  • Denda sehingga 100,000 riyal dikenakan kepada pihak yang memohon visa lawatan bagi individu melanggar peraturan haji termasuk cuba menunaikan tanpa permit.
  • Hukuman sama bagi mereka yang membawa masuk pemegang visa lawatan atau memberi bantuan seperti menyediakan penginapan untuk mengekalkan kehadiran di kawasan suci.
  • Individu yang menyusup atau tinggal melebihi tempoh akan dihantar pulang, diharamkan masuk 10 tahun; kenderaan boleh dirampas; hak rayuan 30 hari.

Menurut kenyataan kementerian itu yang dipetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA), denda sehingga 20,000 riyal akan dikenakan ke atas individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit dan kepada pemegang visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci bermula 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah 1447H.

Selain itu, denda lebih berat sehingga 100,000 riyal akan dikenakan terhadap pihak yang memohon visa lawatan bagi individu yang melanggar peraturan haji, termasuk mereka yang cuba menunaikan haji tanpa permit atau memasuki Makkah dan kawasan tanah suci dalam tempoh yang ditetapkan.

Denda akan dikenakan mengikut jumlah individu yang terlibat.

Hukuman sama turut dikenakan kepada sesiapa yang cuba membawa masuk pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci, serta individu yang memberi perlindungan atau bantuan seperti menyediakan penginapan bagi membolehkan mereka terus berada di kawasan tersebut.

Sementara itu, individu yang menyusup masuk untuk menunaikan haji dalam kalangan penduduk asing atau yang tinggal melebihi tempoh sah akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Kementerian turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memohon mahkamah untuk merampas kenderaan darat yang digunakan bagi membawa pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci, sekiranya kenderaan tersebut dimiliki oleh individu yang terlibat atau bersubahat.

Individu yang dikenakan hukuman berhak mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa berkaitan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dan seterusnya boleh membawa kes ke mahkamah dalam tempoh 60 hari selepas keputusan rayuan dimaklumkan.

Kementerian juga menyeru orang ramai termasuk warganegara, penduduk dan pemegang visa supaya mematuhi peraturan haji yang ditetapkan serta melaporkan sebarang pelanggaran peraturan. – BERNAMA