
ROM, 6 November – Kira-kira 20 penerbangan komersial di Eropah berdepan ancaman bom palsu untuk hari ketiga berturut-turut, sekali gus mencetuskan tindakan mengerahkan jet pejuang dari Itali, Perancis dan Bulgaria pada Khamis.
- Beberapa penerbangan dilencongkan; sekurang‑kurangnya lima pesawat menerima kawalan udara tentera sebelum mendarat.
- Pemeriksaan ke atas pesawat tidak menemui sebarang bahan letupan; ancaman terutama menyasarkan syarikat tambang rendah dan laluan ke/dari Bulgaria, Czech, Itali.
- Mesej ancaman menggunakan nama 'Male State' atau 'Men's State', mengandungi unsur kebencian terhadap wanita; siasatan meneroka kemungkinan kaitan asing.
Ancaman berkenaan turut menyebabkan tiga penerbangan dilencongkan, manakala sekurang-kurangnya lima pesawat menerima kawalan udara tentera sebelum mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap pesawat terbabit tidak menemukan sebarang bahan letupan.
Ancaman itu kebanyakannya menyasarkan syarikat penerbangan tambang rendah serta penerbangan dari dan ke Bulgaria, Republik Czech dan Itali.
Beberapa mesej ancaman yang dihantar ke lapangan terbang di Rom dan Sofia mendakwa ia dilakukan kumpulan dikenali sebagai ‘Male State’, selain mengandungi unsur kebencian terhadap wanita.
Lapangan Terbang Birmingham di England turut mengesahkan menerima ancaman palsu serupa daripada kumpulan yang menggunakan nama ‘Men’s State’.
Di Bulgaria, jet pejuang mengiringi tiga pesawat Ryanair yang menuju ke Sofia dari Madrid, Copenhagen dan London untuk pemeriksaan keselamatan.
Sementara itu, jet pejuang Perancis mengiringi pesawat Aer Lingus dari Dublin yang menuju ke Rom sebelum diarahkan mendarat di pangkalan tentera Evreux, kira-kira 100 kilometer ke barat Paris.
Pejabat Perdana Menteri Perancis memaklumkan tindakan itu diambil selepas juruterbang didakwa tidak memberikan kerjasama seperti yang diharapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Aer Lingus menegaskan syarikat penerbangan dan juruterbangnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Perancis.
Dalam perkembangan berkaitan, penerbangan Ryanair dari London ke Sofia dilencongkan ke Lapangan Terbang Plovdiv, manakala penerbangan Wizz Air dari Milan ke Warsaw dialihkan ke Vienna.
Menurut Pesuruhjaya Pengangkutan Kesatuan Eropah, Apostolos Tzitzikostas, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada insiden berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Pihak berkuasa Eropah bagaimanapun sebelum ini memberi amaran mengenai peningkatan serangan hibrid yang dalam sesetengah kes dikaitkan dengan Rusia atau Iran.
Pada Selasa lalu, 10 penerbangan turut menerima ancaman bom yang kemudiannya disahkan sebagai palsu.
Menurut badan keselamatan penerbangan Eropah, Eurocontrol, sebanyak 25,072 penerbangan dijadualkan beroperasi di seluruh benua itu pada Khamis.- AFP