
MOSCOW, 6 November – Presiden Rusia, Vladimir Putin menerima kunjungan Ketua Keselamatan Iran, Mohsen Rezaei di Moscow pada Khamis bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala, termasuk cadangan pembinaan saluran paip bagi mengimport gas Rusia.
- Perbincangan menyentuh pembinaan saluran paip gas dari Rusia ke Iran.
- Projek bertujuan bantu Iran atasi kekurangan gas domestik dan biarkan Rusia menjual ke negara jiran.
- Iran menghadapi kekurangan gas walaupun pengeluar utama; keadaan diperburuk oleh serangan terhadap infrastruktur sejak perang.
- Hubungan Rusia dan Iran semakin rapat; Putin sedia jadi pengantara, tekankan mekanisme keselamatan serantau dan tolak campur tangan luar.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran itu menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai pertukaran pandangan yang amat penting, menurut laporan media kerajaan Iran.
Rezaei berkata, perbincangan bersama Putin turut menyentuh pembinaan saluran paip gas dari Rusia ke Iran.
Menurutnya, projek itu bertujuan membantu Iran menangani kekurangan bekalan gas domestik, selain membolehkan Rusia menjual gas ke negara-negara jiran.
Iran, meskipun merupakan antara pengeluar utama gas asli dunia, berdepan masalah kekurangan bekalan bahan api itu sejak sekian lama, khususnya bagi memenuhi keperluan sistem pemanasan.
Keadaan itu semakin meruncing susulan perang dengan Amerika Syarikat dan Israel yang bermula pada Februari lalu, apabila beberapa infrastruktur utama Iran termasuk loji penapisan gas asli dilaporkan menjadi sasaran serangan.
Hubungan Rusia dan Iran, yang merupakan antara negara paling banyak dikenakan sekatan antarabangsa, semakin rapat sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022.
Pada awal Oktober lalu, Putin menyatakan kesediaan Rusia untuk memainkan peranan sebagai pengantara bagi menamatkan konflik yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada Februari.
Rezaei berkata, Putin turut menekankan kepentingan mekanisme keselamatan serantau serta menolak sebarang campur tangan kuasa luar dalam usaha menyelesaikan konflik di Asia Barat.-AFP