
IPOH, 5 Sept – Pameran Guru Pendidikan Seni dan Visual Negeri Perak 2026, BANGUN!!! menampilkan sebanyak 42 karya lukisan dan arca yang dihasilkan oleh 31 guru sekolah rendah dan menengah di negeri berkenaan.
- Pameran menggalakkan budaya berkarya dalam kalangan guru dan memperkukuh jaringan antara pendidik, pengkarya, institusi seni dan masyarakat.
- Setiap karya memaparkan perjalanan dan cerita tersendiri, memberi pendedahan awam kepada karya guru yang sebelum ini dipamerkan secara kecil.
- Pameran dipuji sebagai usaha memperkasakan seni dalam kalangan pencinta seni dan pelajar, menyemai kefahaman serta memasyarakatkan seni.
Pameran di The Silver Lab, Jalan Datoh di sini itu berlangsung kira-kira dua minggu sejak 1 Sept lepas.
Pengarah pameran Amrie Zakaria berkata pameran itu, yang julung-julung kali diadakan, bertujuan menggalakkan budaya berkarya dalam kalangan guru dan membina jaringan lebih kukuh antara golongan pendidik, pengkarya, institusi seni serta masyarakat.

Beliau berkata setiap karya dalam pameran itu memiliki perjalanan dan jalan cerita tersendiri.
“Sebelum ini, karya-karya yang dihasilkan oleh guru seni hanya dipamerkan pada skala lebih kecil… jadi, kali ini kita buat pameran yang boleh dilihat oleh orang ramai terutamanya golongan muda,” katanya kepada Bernama hari ini.
Perasmian pameran itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Perak Dr Mohamad Yusri Bakir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.
Sementara itu, Mohamad Yusri berkata pameran tersebut ialah satu usaha bagi memperkasakan seni dan visual dalam kalangan pencinta seni serta golongan pelajar.
“Pameran sebegini secara tidak langsung dapat menarik orang ramai terutama golongan muda untuk memahami apa itu seni seterusnya dapat memasyarakatkan seni.
“Yayasan Perak sentiasa melihat seni dan kreativiti sebagai antara elemen penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berbudaya serta berdaya saing,” katanya. – BERNAMA