SARA: Bukan bantuan picisan, impak nyata kepada ekonomi rakyat

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • SARA bukan bantuan picisan; setiap ringgit merangsang ekonomi setempat dan menyokong peniaga kecil sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
  • Pembayaran digital dan rangkaian kedai berdaftar menjadikan penyaluran lebih telus serta mengurangkan ketirisan bantuan.
  • Walaupun memberi impak mikro dan makro, jumlah sederhana dan cabaran capaian memerlukan pelaksanaan lebih strategik dan bersasar.

Bulan Ramadan dan Aidilfitri sentiasa membawa suasana yang berbeza dalam masyarakat kita. Selain kehangatan sambutan dan kemeriahan bazar, tempoh ini juga merupakan waktu kos sara hidup terasa lebih tinggi, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Setiap ringgit menjadi lebih bermakna dan bantuan kebajikan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sering menjadi penyelamat kepada mereka yang perlu mengurus perbelanjaan juadah berbuka, persiapan raya dan keperluan keluarga.

Namun begitu, masih ramai yang memandang rendah program ini dan menganggapnya sekadar “bantuan picisan” yang tidak memberi impak besar.

Hakikatnya, SARA jauh lebih daripada itu. Di sebalik jumlah bantuan yang kelihatan sederhana, setiap ringgit yang disalurkan mempunyai kesan berganda terhadap ekonomi tempatan dan komuniti.

Program ini bukan sahaja meringankan beban harian penerima, malah merangsang perniagaan kecil, pasar raya dan peniaga makanan tradisional, khususnya sepanjang bulan mulia ini.

SARA: Lebih daripada Sekadar Bantuan Tunai

Program SARA disasarkan kepada golongan B40 dan miskin tegar bagi meringankan beban kos harian mereka. Bantuan ini bukan sekadar wang di tangan penerima, sebaliknya meningkatkan kuasa beli yang disalurkan terus kepada kedai runcit, bazar dan perniagaan mikro.

Melalui kaedah ini, setiap ringgit bukan sahaja membantu penerima, malah menggerakkan ekonomi setempat secara tidak langsung. Dari perspektif ekonomi, suntikan tunai kepada golongan berpendapatan rendah memberi kesan berganda kerana mereka cenderung membelanjakan hampir keseluruhan wang yang diterima.

Fenomena ini menghasilkan impak ekonomi mikro yang membantu peniaga kecil dan komuniti setempat, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi makro melalui peningkatan permintaan agregat.

Ramadan dan Aidilfitri: Masa Puncak Perbelanjaan

Bulan Ramadan dan Aidilfitri memperlihatkan peningkatan perbelanjaan isi rumah, daripada juadah berbuka dan persiapan rumah hingga pakaian serta kelengkapan raya.

Dalam tempoh ini, SARA membolehkan golongan berpendapatan rendah turut merasai kemeriahan perayaan tanpa tekanan kewangan berlebihan, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan.

Bagi peniaga kecil seperti peniaga bazar Ramadan dan pengusaha makanan tradisional, SARA membuka peluang untuk berkembang. Apabila wang beredar dalam komuniti, kesannya bukan sahaja dirasai oleh perniagaan kecil, malah turut memberi kesan tidak langsung terhadap kestabilan ekonomi makro.

Hal ini kerana aliran perbelanjaan tersebut membantu mengekalkan permintaan domestik.

Kelebihan SARA dari Perspektif Ilmiah

Dari sudut ilmiah, SARA boleh dianggap sebagai satu bentuk pelaburan sosial yang berpotensi memberi impak jangka panjang. Dengan mengurangkan tekanan kos harian, penerima dapat menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anak, perniagaan kecil atau aktiviti ekonomi lain yang menyumbang kepada komuniti.

Pelaksanaan SARA melalui sistem pembayaran digital dan rangkaian kedai berdaftar memastikan bantuan disalurkan secara lebih telus serta mengurangkan ketirisan.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan bantuan, malah memperkukuh ekosistem ekonomi mikro dalam komuniti setempat, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi makro.

Keterbatasan SARA

Walaupun SARA memberi impak positif terhadap ekonomi mikro dan makro secara tidak langsung, program ini tetap mempunyai keterbatasan. Antara cabaran utama ialah jumlah bantuan yang masih sederhana dan mungkin tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos sara hidup sesetengah penerima, khususnya di kawasan bandar yang kosnya lebih tinggi.

Selain itu, terdapat risiko bantuan tunai digunakan untuk keperluan jangka pendek semata-mata tanpa disalurkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih produktif atau pelaburan jangka panjang.

Cabaran turut wujud dari segi pengagihan dan capaian penerima apabila golongan yang benar-benar memerlukan kadangkala tidak menerima manfaat sepenuhnya akibat kekangan sistem atau kekurangan maklumat.

Walaubagaimanapun, dengan pelaksanaan yang lebih strategik dan bersasar, impak positif SARA boleh diperkukuh tanpa menafikan cabaran yang sedia ada.

Bukan Sekadar Bantuan, Pemangkin Ekonomi

Menganggap SARA sebagai bantuan kecil merupakan satu persepsi yang kurang tepat. Program ini sebenarnya instrumen pengukuhan ekonomi yang memberi kesan terhadap dimensi mikro dan makro. SARA membantu mengalirkan wang dalam komuniti, meningkatkan permintaan agregat dan menyokong golongan yang paling terkesan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Tanpa mengira kedudukan ekonomi masing-masing, manfaatkanlah SARA secara berhemah.

Setiap ringgit yang dibelanjakan bukan sahaja membantu diri sendiri, malah menyumbang kepada pengukuhan ekonomi komuniti dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Pengguna bijak, ekonomi melonjak!

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nurul Hidayah Md Razali
Pensyarah
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia


Fadilah Mat Nor
Pensyarah
Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakauanan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor