Polemik rumah ibadat: Pendidikan akhlak dan moral membentuk generasi harmoni

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan akhlak dan moral melalui teladan penting untuk membentuk generasi yang harmoni dan saling menghormati.
  • Perlaksanaan undang-undang terhadap binaan haram mesti adil, berhati-hati dan tidak menghina mana-mana agama.
  • Dialog jujur dan komunikasi rasional diperlukan untuk mencapai persefahaman serta mengelakkan tindakan manipulatif.
  • Pemenuhan keperluan masyarakat secara telus dan berkeadilan mengurangkan ketegangan dan tanggapan negatif.

Landskap sosiopolitik Malaysia sering kali diuji oleh pertembungan antara keperluan birokrasi negara moden dengan keresahan masyarakat majmuk berkaitan ruang fizikal dan simbolik rumah ibadat.

Isu perobohan dan penempatan semula struktur keagamaan yang didirikan tanpa kebenaran bukan sekadar pertikaian yang melibatkan Pegawai Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi juga memberi kesan kepada keretakan dalam fabrik masyarakat majmuk negara.

Dalam menangani isu Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dibina secara haram, kita perlu bertindak dengan penuh berhati-hati supaya peraturan negara ditegakkan tanpa mencetuskan penghinaan terhadap mana-mana agama.

Menurut seorang ahli falsafah Jerman, Jürgen Habermas, kita harus mengelakkan apa yang disebut sebagai Tindakan Strategik (Strategic Action), iaitu tindakan yang bersifat manipulatif atau menggunakan ancaman untuk mencapai matlamat individu atau kumpulan tertentu.

Sebaliknya, kita perlu beralih kepada Tindakan Komunikatif (Communicative Action) yang mengutamakan persefahaman tulen yang berasaskan Situasi Pertuturan Ideal (Ideal Speech Situation). Ini merujuk kepada satu bentuk komunikasi yang rasional, terbuka, dan jujur tanpa sebarang agenda tersembunyi demi mencapai persefahaman bersama.

Penting bagi semua pihak untuk mengamalkan tuntutan terhadap kebenaran dan keikhlasan dalam menangani isu ini. Sekiranya melalui data yang telus didapati bilangan kuil Hindu yang sah telah mencukupi bagi keperluan penduduk di sesuatu kawasan, maka warga Hindu perlu berjiwa besar dan jujur untuk menyatakan bahawa tiada lagi keperluan untuk binaan haram yang baharu.

Begitu juga, sekiranya benar terdapat keperluan masyarakat Hindu yang tidak dipenuhi selama ini—seperti ketiadaan peruntukan tanah yang sistematik dalam sistem perancangan—inilah masanya untuk kita memenuhi keperluan tersebut dengan penuh kesefahaman dan kejujuran semua pihak.

Kejujuran ini amat penting bagi mengelakkan persepsi negatif bahawa terdapat segolongan warga Hindu yang sedang aktif melakukan aktiviti perolehan tanah secara tidak adil yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian negara ini.

Perkara yang paling kritikal dalam polemik ini adalah bagaimana tindakan kita hari ini secara tidak langsung sedang mendidik generasi masa hadapan. Pendidikan tidak terhad kepada teori di dalam bilik darjah semata-mata, tetapi merangkumi apa yang mereka saksikan berlaku dalam masyarakat dan perbincangan di media sosial.

Di sekolah, anak-anak kita mempelajari nilai-nilai murni seperti Keadilan, Kejujuran, Hormat-menghormati, Rasional, Kesederhanaan dan lain-lain nilai murni secara teori di dalam subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Inilah saat yang paling sesuai untuk kita didik generasi akan datang dengan menunjukkan contoh sifat-sifat murni ini dalam menangani polemik binaan haram RIBI.

Dalam mencegah perbuatan yang melanggar undang-undang, kita perlu berhati-hati supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menghina mana-mana kepercayaan.

Jika kita memperlihatkan tindakan yang menghina kaum atau agama lain, tanpa disedari anak-anak kita juga akan belajar dan menganggap sifat ini sebagai satu norma sosial. Sekiranya ketegangan ini dibiarkan berlarutan, generasi seterusnya juga akan mewarisi pemikiran prejudis perkauman ini tanpa kita sedari.

Semua kaum di Malaysia sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik dalam menyelesaikan konflik binaan haram ini. Pendekatannya perlulah bijaksana dan halus, umpama menarik rambut dari tepung—biar rambut tertarik, tepung jangan berselerak.

Kematangan kita dalam berdialog secara jujur dan bertindak mengikut neraca keadilan dengan hikmah bukan sahaja mengelakkan pertikaian fizikal, malah merupakan pelaburan pendidikan yang paling berharga bagi masa depan Malaysia.

Dengan menunjukkan sifat murni dalam menangani konflik, kita memastikan generasi akan datang membesar dalam sebuah negara yang saling menghormati dan bersatu padu; inilah pendidikan moral dan akhlak yang terbaik untuk anak-anak kita.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mohd Mokhtar Muhamad
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: mk_mokhtar@upm.edu.my