Menjamin bekalan, menjaga rakyat: Visi baharu keterjaminan makanan 2030

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu modul kesiapsiagaan terperinci termasuk stok penimbal, pemberitahuan awal dan simulasi krisis bagi ketahanan terhadap gangguan besar.
  • Mengurangkan kebergantungan import dengan strategi meningkatkan kadar sara diri bagi beras, daging dan produk tenusu.
  • Kurangkan pembaziran rantaian bekalan melalui piawaian, teknologi pintar pemantauan dan sokongan pengurusan lebihan makanan.

Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang baharu dilancarkan dilihat sebagai landasan penting untuk memperkukuhkan masa depan makanan negara. Dasar ini memberi fokus kepada ketersediaan, akses, penggunaan, kestabilan dan kelestarian alam sekitar.

Ia bukan sahaja bertujuan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, malah juga memacu sektor agromakanan ke arah lebih moden dan mampan dalam menghadapi ketidaktentuan global seperti perubahan iklim serta tekanan rantaian bekalan makanan.

Pada masa lalu, peningkatan pengeluaran makanan dapat dicapai melalui pembukaan tanah pertanian baharu dan juga peningkatan produktiviti. Namun begitu, sebahagian besar tanah yang sesuai untuk pertanian kini telahpun dimanfaatkan. Oleh itu, peningkatan pengeluaran makanan pada masa akan datang perlu dipacu terutamanya melalui peningkatan produktiviti pertanian.

Melangkah ke hadapan, bagi memastikan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat pada harga yang berpatutan, pelaburan dalam sektor agromakanan tidak seharusnya dinilai hanya dari perspektif keuntungan perniagaan sahaja, tetapi juga dari sudut pulangan sosial serta sumbangan kepada keselamatan negara.

Ke arah itu, diperlukan ekosistem yang holistik melalui integrasi dasar keterjaminan makanan, teknologi inovatif dan keusahawanan.

Walaupun DKMN 2030 telah menyediakan kerangka strategik yang kukuh, terdapat beberapa aspek utama yang masih boleh dipertingkatkan agar impaknya benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Pertama, aspek ketahanan terhadap gangguan besar seperti perubahan iklim ekstrem, wabak penyakit tanaman dan gangguan geopolitik memerlukan perhatian yang lebih terperinci.

Menentukan dasar sahaja tidak mencukupi tanpa disertakan pelan kesiapsiagaan yang kukuh termasuk penyediaan stok penimbal (buffer stocks), rangka pemberitahuan awal berkaitan ketersediaan bekalan serta senario simulasi krisis yang dijalankan secara berkala untuk memastikan segala kemungkinan gangguan dapat ditangani dengan cepat.

Malaysia perlu memasukkan modul kesiapsiagaan yang lebih terperinci dalam dasar ini bagi melengkapkan visi jangka panjangnya.

Kedua, penekanan terhadap kebergantungan import yang tinggi bagi beberapa makanan asas makanan merupakan faktor utama yang perlu ditangani.

Walaupun status keseluruhan bekalan makanan negara adalah stabil, pengeluaran tempatan masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik secara menyeluruh terutama bagi makanan penting seperti beras, daging dan produk tenusu.

Dengan peningkatan kos import dan risiko gangguan global, strategi yang lebih terperinci untuk meningkatkan kadar sara diri makanan asas perlu dimasukkan dalam pelan pelaksanaan dasar.

Ketiga, isu pembaziran makanan dalam rantaian bekalan juga menjadi cabaran penting yang tidak boleh dipandang ringan. Pada masa ini, dianggarkan sehingga 20% hasil buah-buahan dan sayur-sayuran hilang dalam proses pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran akibat pengurusan pembungkusan dan penyimpanan yang kurang cekap.

Dasar ini perlu memberi fokus jelas terhadap mekanisme pengurangan pembaziran melalui proses piawaian, penggunaan teknologi pintar untuk pemantauan rantaian bekalan serta sokongan kepada pemain industri untuk mengurus lebihan makanan yang masih boleh dimanfaatkan.

Keempat, dasar ini perlu menyediakan insentif yang lebih kuat bagi menggalakkan inovasi dan kemajuan teknologi dalam sektor pertanian.

Walaupun penekanan telah digariskan kepada amalan pertanian pintar seperti penggunaan Internet of Things (IoT), dron dan automasi, penerapan teknologi tersebut secara menyeluruh masih memerlukan sokongan modal dan latihan yang lebih meluas khususnya kepada pengeluar kecil yang sering kekurangan akses kepada teknologi moden.

Integrasi teknologi secara lebih menyeluruh bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran malah menyokong kestabilan sektor agromkanan di peringkat akar umbi.

Kelima, aspek kesihatan dan nutrisi makanan perlu diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dalam dasar. Kos makanan berkhasiat dilaporkan masih melebihi kemampuan ramai keluarga, terutama golongan berpendapatan rendah.

Oleh itu, selain menjamin ketersediaan makanan, dasar ini juga perlu menekankan program pendidikan nutrisi dan dasar sokongan harga supaya makanan yang berkualiti, seimbang dan berkhasiat lebih mampu dimiliki oleh masyarakat umum.

Selain itu, pembangunan keusahawaatani dan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan turut menjadi aspek penting. Tanpa pendekatan yang menarik minat generasi muda melalui latihan, insentif dan peluang perniagaan, sektor ini berisiko kekal bergantung kepada tenaga kerja asing dan kurang inovatif.

Khusus untuk industri padi dan beras negara, memandangkan dasar sedia ada belum mencapai tahap sara diri yang diharapkan, beberapa cadangan terutama berkaitan falsafah dan mekanisme dasar perlu dirungkai semula seperti berikut:

  1. Menukar kaedah penyaluran subsidi padi daripada berasaskan keluasan tanah kepada subsidi berasaskan output atau jumlah pengeluaran. Perubahan ini dijangka mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.
  2. Mengapungkan harga beras dengan mengecualikan SST 15% dan menggantikannya dengan subsidi yang tersasar kepada golongan miskin terutamanya dalam kawasan bandar. Langkah ini dapat mempercepatkan rantaian penawaran padi dan beras tempatan serta mengurangkan isu kekurangan bekalan.
  3. Melaksanakan dasar guna tanah untuk menggalakkan pengeluaran padi melalui pemberian insentif kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri berdasarkan nilai perkhidmatan ekosistem (ecosystem service value) bagi tanah pengeluaran padi, seperti melalui skim “Food Security Transfer Payment”.
  4. Mengambil kira risiko tinggi yang dihadapi sektor padi berbanding sektor perindustrian, dasar insurans tanaman padi perlu diperluaskan untuk melindungi pesawah daripada bencana alam dan ketidaktentuan harga.

Selain penggubalan dasar tersebut, industri padi dan beras negara juga perlu meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan produktiviti. Usaha meneruskan Skim SMART SBB untuk memperluaskan skala ladang serta memperkukuhkan tahap keusahawanan pesawah padi perlu diteruskan.

Kesimpulannya, DKMN 2030 merupakan langkah strategik untuk mempersiapkan sistem makanan negara menghadapi masa depan yang penuh cabaran. Namun, bagi memastikan dasar ini bukan sekadar dokumen dasar semata-mata, langkah penambahbaikan yang lebih mendalam perlu diintegrasikan dalam pelaksanaannya agar ia benar-benar memberi impak positif kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Emeritus Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin
Felo Pengajar Fakulti Pertanian
Profesor Emeritus Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia
e-mel: mns@upm.edu.my