SAUDARA PENGARANG
Dalam era teknologi hari ini, media sosial muncul sebagai medium popular untuk komunikasi, penyebaran maklumat dan mempengaruhi pandangan umum menerusi perkongsian kandungan-kandungan.
Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X, TikTok dan lain-lainnya bukan sahaja memudahkan interaksi sosial tetapi mencorakkan landskap pendigitalan negara.
Namun, di sebalik kebebasan media ini, telah berlaku peningkatan kes-kes berkaitan kesalahan seperti memfitnah, menghasut dan menipu dalam talian berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kebebasan Perlu Diimbangi Dengan Kefahaman Undang-undang
Peningkatan kes-kes ini memberi isyarat tentang perlunya perubahan sikap dalam kalangan pengguna media sosial untuk menjadi lebih faham mengenai implikasi pelanggaran undang-undang.
Menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), rakyat Malaysia menikmati kadar penembusan Internet yang tinggi melebihi 97 peratus ketika ini dengan majoriti pengguna aktif di media sosial.
Ini, sekaligus memperlihatkan betapa besarnya pengaruh teknologi dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, pada 27 Februari 2024, satu akhbar tempatan melaporkan tentang peningkatan kes melibatkan berita tidak benar, kandungan berbaur hasutan dan penghinaan terhadap agama, institusi diraja dan kaum (3R) antara tahun 2022 hingga 2023 di negara ini.
Sepanjang tempoh tersebut, 1,396 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis.
Sebahagian besar disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana kenyataan jelik, tidak benar, berbaur hasutan dan penghinaan 3R secara dalam talian menggunakan platform media sosial.
Bagi tempoh sehingga penghujung Mac 2024 pula, MCMC menerima 1,454 aduan berkaitan kandungan 3R di media sosial.
Daripada jumlah itu, 731 kes melibatkan pengguna platform Facebook dan diikuti TikTok dengan 705 kes.
Berikutan peningkatan kes ini, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dan sedia bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengganggu keharmonian melalui penyebaran isu-isu sensitif 3R.
Pada awal 2025, polis menerima 261 laporan berkaitan penghinaan agama Islam dan Hindu, 150 laporan terhadap seorang pendakwah dan 73 laporan terhadap penyampai radio yang terbabit dalam isu sensitif.
Berlakunya peningkatan kes ini menandakan keperluan setiap individu yang menggunakan media sosial untuk memahami dan ambil peduli tentang undang-undang sedia ada.
Antaranya, Akta Hasutan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang kerangka pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang secara sedar atau tidak sedar telah menyebarkan kenyataan berunsur hasutan atau hantaran jelik yang menyinggung pihak lain.
Setiap individu juga perlu memahami bahawa, walaupun mereka hanya menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat, meluahkan pandangan dan berinteraksi secara global, masih ada risiko perundangan yang perlu difahami.
Misalnya, Akta Hasutan 1948 yang diwarta untuk untuk menangani gerakan antipenjajah dan ancaman ideologi komunis pada ketika itu.
Akta ini juga diwujudkan untuk mengawal kegiatan yang dianggap mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara walaupun sering diperdebat dalam era digital tentang kerelevanannya.
Namun, dalam konteks Malaysia, akta ini kekal relevan sejak merdeka dan sering digunakan untuk menangani ucapan atau tindakan yang boleh mencetuskan kebencian, permusuhan atau kekacauan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Keunikan struktur sosial negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang budaya menuntut satu mekanisme perundangan bagi memastikan keharmonian dan kestabilan sosial terus terpelihara.
Tanpa kawalan yang sewajarnya, kebebasan bersuara yang disalahgunakan berpotensi menghakis kepercayaan antara komuniti serta mencetuskan konflik yang sukar dibendung.
Selain itu, dalam era digital dan media sosial, penyebaran maklumat berlaku dengan pantas dan melangkaui sempadan geografi. Ucapan berunsur hasutan, provokasi atau fitnah kini boleh tular dalam masa singkat dan memberi impak besar kepada persepsi awam.
Justeru, penguatkuasaan akta ini bukan sahaja bertujuan menghukum, malah berfungsi sebagai langkah pencegahan untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan platform digital serta sedar akan implikasi undang-undang setiap kenyataan yang dikeluarkan.
Undang-undang Kawal Media Sosial, Melindungi Semua Pihak
Pewartaan pelbagai undang-undang yang mengawal selia media sosial di Malaysia bertujuan memastikan penggunaan platform digital tidak disalah gunakan dan melindungi rakyat daripada impak penyalahgunaan itu.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, misalnya, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, termasuk penyebaran kandungan jelik, palsu, mengancam atau bersifat mengganggu.
Walaupun undang-undang ini sering diperdebatkan dari sudut kebebasan bersuara, pakar perundangan berpendapat bahawa ia perlu dilihat sebagai mekanisme kawalan bagi melindungi kepentingan awam.
Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan mutlak, sebaliknya perlu disertai dengan tanggungjawab dan etika.
Dalam landskap kebebasan media hari ini, telah mewujudkan satu lagi ancaman kepada keharmonian masyarakat iaitu penyebaran berita palsu atau fake news.
Maklumat tidak sahih boleh disebarkan dalam tempoh beberapa saat dan berpotensi mencetuskan panik, kekeliruan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Pakar komunikasi massa menjelaskan bahawa pengguna sering terperangkap dalam budaya “kongsi tanpa semak”, didorong oleh emosi, kepercayaan peribadi atau keinginan menjadi individu terawal menyebarkan sesuatu maklumat.
Sikap ini secara tidak langsung membuka ruang kepada manipulasi maklumat, khususnya melibatkan isu sensitif seperti agama, kaum, keselamatan dan politik.
Sehubungan itu, pengguna digesa mengamalkan prinsip saring sebelum kongsi dengan memastikan sumber maklumat adalah sahih, berautoriti dan boleh dipercayai.
Pengguna juga perlu membezakan antara laporan berita, pandangan peribadi dan kandungan bersifat propaganda.
Selain berita palsu, peningkatan ujaran kebencian di media sosial turut menjadi perhatian serius.
Ujaran kebencian yang menyasarkan individu atau kumpulan berdasarkan kaum, agama, jantina atau latar belakang sosial bukan sahaja mencabuli nilai kemanusiaan, malah boleh menggugat keharmonian negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Ahli akademik dalam bidang sosiologi digital menegaskan bahawa media sosial sering memberikan ilusi anonimitas, menyebabkan sesetengah pengguna berani mengeluarkan kenyataan kasar, menghina dan melampaui batas.
Hakikatnya, identiti digital boleh dikesan dan setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap jejak digital masing-masing.
Dalam konteks ini, menjadi pengguna media sosial yang cakna bermaksud memahami kesan kata-kata yang ditulis serta implikasinya terhadap orang lain dan masyarakat secara keseluruhan.
Sensitiviti budaya dan amalan saling menghormati perlu dijadikan asas dalam setiap interaksi digital.
Peranan Pendidikan dan Pentingnya Literasi Media
Bagi menangani isu penyalahgunaan media sosial, pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi.
Pendidikan literasi media dan digital perlu diperkasakan bermula dari peringkat sekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Kerajaan MADANI menerusi kementerian dan agensi berkaitan dilihat giat melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran, termasuk kempen keselamatan siber, program literasi media serta latihan mengenal pasti berita palsu.
Usaha ini bertujuan melahirkan pengguna media sosial yang berfikir secara kritikal, beretika dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, ibu bapa juga mempunyai peranan penting untuk membimbing anak-anak agar menggunakan media sosial secara berhemah.
Pemantauan, komunikasi terbuka dan contoh teladan yang baik mampu membentuk sikap positif terhadap penggunaan teknologi digital.
Dalam dunia tanpa sempadan ini, setiap pengguna media sosial hakikatnya adalah penerbit maklumat.
Justeru, warganet perlu melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada ekosistem maklumat negara yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri.
Menjadi pengguna media sosial yang cakna dan patuh undang-undang bukan bermakna menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan kebebasan tersebut digunakan secara beretika dan berlandaskan fakta.
Sikap bertanggungjawab ini penting bagi mengekalkan keharmonian sosial, melindungi hak individu dan memperkukuh demokrasi digital.
Sebagai kesimpulan, kemajuan teknologi seharusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih berilmu, matang dan beradab.
Dengan kesedaran undang-undang, literasi media yang tinggi serta nilai tanggungjawab sosial, rakyat Malaysia mampu menjadi pengguna media sosial yang bukan sahaja bijak berinteraksi, malah menyumbang kepada kesejahteraan negara secara keseluruhan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Zuraidah Abu Talib
Pensyarah Kanan Program Teknologi Media
Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: zuraidah@uum.edu.my