KUALA LUMPUR, 17 Julai - Syarikat pemaju hartanah, Eastern & Oriental Bhd (E&O) kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah tempatan tahun ini, terutamanya bagi segmen hartanah premium.
Pengarah Urusannya, Kok Tuck Cheong berkata, ini berdasarkan permintaan menggalakkan bagi projek terbaharunya selain kualiti yang ditawarkan untuk menarik minat pembeli.
''Bagi projek ikonik seperti yang kami bangunkan, harga bukanlah faktor utama, sebaliknya pembeli dalam segmen ini lebih mengutamakan kemasan berkualiti tinggi, seni bina, susun atur ruang, serta kemudahan yang disediakan.
''Ini antara elemen yang menarik minat pembeli dalam kategori premium,'' jelasnya ketika Sidang Media Pelancaran Kediaman Premium Conlay Signature Suites.
Sejak prapelancarannya pada Mei lepas, sebanyak 40 peratus daripada 194 unit pangsapuri servis tersebut telah dijual.
Dibangunkan dalam kawasan seluas lebih 0.58 hektar, unit-unit tersebut dijual pada harga antara RM1.52 juta hingga RM12 juta.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan, tiada kenaikan harga melibatkan pembangunan projek hartanah semasa, susulan semakan semula dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun, beliau tidak menolak bahawa SST mungkin menyebabkan tekanan harga terutamanya bagi projek-projek akan datang yang akan dibangunkan mengikut peraturan cukai semasa.