fb fb fb fb fb

SJKP tawar jaminan pembiayaan melebihi 100% bagi pembeli rumah pertama

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) menawarkan jaminan pembiayaan perumahan melebihi 100 peratus daripada harga rumah bagi pembeli rumah pertama yang layak, menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Langkah itu sekali gus memberi keyakinan lebih besar kepada pihak bank untuk meluluskan permohonan pinjaman yang sebelum ini mungkin ditolak.

SJKP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai kadar pemilikan rumah sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2030.

“Walaupun mempunyai pendapatan stabil dan rekod kredit yang baik, ramai pekerja masih berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan kerana pihak bank tidak dapat mengesahkan pedapatan mereka melalui slip gaji rasmi.

“Keadaan ini menyebabkan golongan seperti pemandu e-hailing, peniaga dalam talian, penjaja serta usahawan kecil terus bergelut untuk memiliki rumah pertama mereka,” katanya.

SJKP menjelaskan, jumlah maksimum jaminan pembiayaan ialah sehingga RM500,000 dan boleh meliputi lebih 100 peratus daripada harga rumah.

Liputan jaminan itu merangkumi perlindungan penuh di bawah Insurans Berkurangan Baki Pinjaman (MRTA) atau Takaful Berkurangan Baki Pinjaman (MRTT), insurans kebakaran, serta yuran guaman dan penilaian.

Skim Jaminan Kredit Perumahan ini diwujudkan bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan tetap tetapi tiada slip gaji rasmi untuk memiliki rumah pertama mereka.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE