fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 23 November- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kekurangan pemangkin, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6775/6830 berbanding dolar AS daripada 4.6735/6805 pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran terus berwaspada dari segi bagaimana dolar AS akan berkembang berdasarkan data bercampur-campur daripada Indeks Sentimen Pengguna dan Tuntutan Pengangguran AS Universiti Michigan.

“Dalam pada itu, data yang lemah bermakna Rizab Persekutuan (Fed) boleh mengubah haluannya pada tahun depan.

“Bagaimanapun, kadar inflasi yang berterusan yang mungkin mengambil sedikit masa untuk mencecah dua peratus boleh menghalang Fed daripada melonggarkan pendirian monetari mereka lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding euro kepada 5.1092/1152 daripada 5.0946/1022 pada Rabu, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1342/1381 daripada 3.1338/1387 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.8740/8809 daripada 5.8550/8637.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.6/301.2 daripada 300.0/300.6, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4922/4969 daripada 3.4838/4893 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.44/8.46 daripada 8.42/8.44 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2601/2813 daripada 13.2702/2957 semalam.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE