MARA sasar 1,000 belia bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi

Foto RTM

Kuala Lumpur, 15 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk melatih serta menempatkan 1,000 belia bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi menerusi inisiatif Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bidang tumpuan: elektrik dan elektronik, semikonduktor, elektrikal, tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik serta automotif.
  • Kerjasama erat dengan industri bagi memastikan latihan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dan kebolehpasaran graduan.
  • Pelatih GIATMARA terlibat dalam program SERI membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah miskin, memberi pengalaman amali dan memupuk nilai sosial.

Ketua Pengarah MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh berkata, antara bidang tumpuan yang dikenal pasti termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, elektrikal, tenaga boleh baharu serta kenderaan elektrik (EV) dan automotif.

Tambahnya, program yang dijangka bermula pada awal 2027 itu akan turut menjalinkan kerjasama dengan industri berkaitan sebagai pendekatan utama bagi memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

“Kerjasama ini bukan sahaja untuk melatih pelajar, tetapi juga mengenal pasti keperluan industri supaya pelajar mempunyai kemahiran yang diperlukan dan bersedia memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Biz Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan 2027 turut menggariskan penglibatan pelatih GIATMARA dalam kerja baik pulih pendawaian elektrik di 20,000 rumah keluarga miskin.

Ir. Dr. Mahzan Teh berkata, usaha berkenaan turut dilaksanakan menerusi program Senggaraan Elektrik Rumah Impian (SERI), yang memberi peluang kepada pelatih dalam bidang elektrikal dan pendawaian untuk terlibat dalam kerja penyelenggaraan di lapangan.

“Pelajar-pelajar GIATMARA akan pergi untuk membuat penyelenggaraan, menukar pendawaian yang lama kepada yang baharu serta menggantikan peralatan elektrik yang sudah lama. Ini sebagai satu pendekatan amali sebenar kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata pengalaman itu turut memupuk nilai sosial dan sahsiah pelatih menerusi penglibatan secara langsung dalam membantu keluarga yang memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.