
PUTRAJAYA, 15 NOVEMBER– Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat bertepatan dengan keadaan ekonomi negara yang kekal kukuh selain kadar inflasi terkawal.
- Kestabilan kadar pembiayaan memberi ruang kepada pemain industri dan peniaga merancang serta mengembangkan perniagaan dalam persekitaran kondusif.
- Pendekatan menyeluruh kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi mampan tanpa mewujudkan tekanan inflasi berlebihan.
- Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan KDNK melebihi lima peratus untuk tahun ketiga berturut turut.
- Kerangka Ekonomi MADANI dan inisiatif seperti STR, SARA serta Payung Rahmah memperkukuh peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi ekonomi domestik yang kukuh disokong tekanan inflasi yang terkawal memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk meneruskan pengembangan operasi, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.
Tambah Datuk Seri Amir Hamzah, keadaan itu turut mencerminkan keberkesanan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan tanpa mewujudkan tekanan inflasi yang berlebihan.
Jelasnya, kestabilan kadar pembiayaan sedia ada memberi ruang kepada pemain industri dan peniaga untuk meneruskan perancangan serta mengembangkan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang lebih kondusif.
“Jadi, pendirian yang diambil adalah untuk terus mengekalkan keadaan pembiayaan sedia ada negara, termasuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Langkah ini memberi ruang kepada para peniaga untuk terus berkembang dan mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas program Larian Kewangan 2026,hari ini, di sini.
Mengulas lanjut mengenai prestasi ekonomi negara, beliau berkata Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus untuk tahun ketiga berturut-turut.
Katanya, prestasi itu disokong pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada 2024 dan 5.2 peratus pada 2025, manakala bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, termasuk anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan KDNK negara berada pada paras 5.5 peratus.
Menurutnya, keadaan ekonomi Malaysia juga berbeza berbanding beberapa negara lain yang berdepan tekanan inflasi lebih tinggi, isu rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi yang terlalu rancak sehingga memerlukan pelarasan kadar faedah.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI turut memberi penekanan kepada usaha memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik dan peningkatan pendapatan rakyat.
Dalam hal itu, kerajaan akan terus memperkukuh usaha meningkatkan gaji minimum dan menggalakkan pelaksanaan gaji wajar oleh syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
Katanya, usaha berkenaan dilengkapi penambahbaikan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif Payung Rahmah bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan adalah memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara bukan hanya memberi manfaat kepada sektor perniagaan, malah turut meningkatkan kesejahteraan rakyat.