KUALA LUMPUR, 28 April- Ringgit dibuka dengan sedikit berubah berbanding dolar AS pada Isnin apabila Indeks Dolar AS (DXY) mengakhiri penurunan selama empat minggu berturut-turut selepas merosot di bawah paras 100 mata baru-baru ini.
Pada 8.04 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3700/3900 berbanding dolar AS daripada 4.3705/3770 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Penganalisis berkata sentimen pasaran yang berhati-hati disebabkan ketidaktentuan yang berterusan mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil berikutan ketidaktentuan tarif yang berlarutan.
“Pada masa yang sama, isyarat berhati-hati daripada Tabung Kewangan Antarabangsa mengenai prospek global pada tahun ini menunjukkan bank-bank pusat mungkin melonggarkan dasar monetari lagi untuk meredakan impaknya,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0408/0550 daripada 3.0431/0481 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound kepada 5.8104/8369 daripada 5.8128/8214.
Bagaimanapun, ia rendah berbanding euro kepada 4.9608/9835 daripada 4.9596/9670.
Sementara itu, ringgit diniagakan sedikit berubah berbanding mata wang serantau.
Ia hampir mendatar berbanding dolar Singapura kepada 3.3224/3381 daripada 3.3228/3280 pada Jumaat lepas. Ringgit tidak berubah berbanding baht Thailand kepada 13.0195/0900 daripada 13.0195/0450, hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.77/7.81 daripada 7.77/7.78 dan kekal stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 259.6/260.9 daripada 259.6/260.2. -BERNAMA