fb fb fb fb fb

Pasaran getah diunjur bergerak dalam julat sempit minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak dalam julat sempit dengan kecenderungan lebih kepada trend menaik minggu depan terutamanya disebabkan oleh situasi bekalan yang ketat.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berpendapat adalah penting untuk para peniaga menyimpan stok menjelang jangkaan hujan lebat untuk mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan keadaan bekalan yang tidak mencukupi.

“Jabatan Meteorologi Thai telah mengeluarkan ramalan cuaca hujan berterusan untuk 48 wilayah dan keadaan paling teruk di wilayah selatan yang mana 60 peratus kawasan mengalami hujan lebat.

"Terdapat juga laporan mengenai hujan lebat di beberapa wilayah pengeluar getah, sekali gus menjejaskan produktiviti. Keadaan hujan berterusan akan menjejaskan pendapatan penanam," katanya kepada Bernama.

"Kemeruapan dalam harga minyak dan dolar AS juga boleh mempengaruhi harga dan permintaan untuk getah,” tambahnya.

Sementara itu, pada asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 1.5 sen atau 0.22 peratus kepada 693.5 sen sekilogram (kg) daripada 692.00 sen sekg manakala lateks pukal menokok 15.5 sen kepada 558.0 sen sekg.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 ialah 689.5 sen sekg dan lateks pukal pada 556.0 sen sekg.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE