fb fb fb fb fb

MITI beri fokus sektor pelaburan tahun hadapan - Tengku Zafrul

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Malaysia merekodkan RM225 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari 2023 hingga September 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia merupakan pencapaian terbaik negara berbanding sedekad lalu.

Jelasnya, jumlah pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama tahun ini, mencatat peningkatan 6.6 peratus berbanding RM211.0 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh sama tahun lepas.

"Daripada segi pekerjaan, pekerjaan yang bakal dicipta hampir 90,000 pekerjaaan dan daripada segi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga sama, ini menunjukkan keyakinan pelabur domestik juga dari segi DDI. Pecahannya 56 peratus FDI dan 44 peratus DDI," kata Tengku Zafrul dalam sidang media Pengumuman Kad Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini.

Pencapaian itu  juga bukti daya tarikan berterusan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Ia sekali gus mencerminkan usaha sama Kerajaan MADANI untuk mengekalkan pelaburan demi kesejahteraan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata MITI akan turut melengkapkan rasionalisasi agensi penggalakkan pelaburan (IPA) menjelang Januari tahun 2024.

"Daripada segi keutamaan pada 2024, MITI akan mempercepatkan proses pelaburan untuk mencapai sasaran ekonomi digital sebanyak RM130 bilion," katanya.

Tambahnya, MITI juga akan meneruskan misi perdagangan dan pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan strategik.

Ia merangkumi beberapa industri seperti aeroangkasa, elektrikal dan elektronik kimia serta farmaseutikal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM