(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 21 September- Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memperuntukkan pelaburan RM500 juta untuk Dana Perintis yang bertujuan memberi sokongan dalam ekosistem modal teroka (VC) dan syarikat pemula.
Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin, berkata dana untuk tempoh 18 hingga 24 bulan itu, menyasarkan inisiatif pemerkasaan syarikat pemula untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.
(Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin)
"Yang pertama adalah melalui Dana modal teroka (VC) iaitu RM250 juta dan yang kedua terus ke dalam syarikat pemula berjumlah RM 250 juta. Dengan dana ini, kami akan melabur dalam dana peringkat awal", katanya.
Dengan peruntukan RM250 juta untuk setiap kategori, inisiatif ini menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dalam landskap keusahawanan.
Ia selari dengan komitmen kelestarian KWAP sebagai salah satu organisasi yang menyokong Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata demikian selepas upacara perasmian Dana Perintis yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Kuala Lumpur.