fb fb fb fb fb

Kontrak niaga hadapan emas dijangka didagangkan melebihi US$2,000 minggu depan

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan aliran meningkat minggu depan, didagangkan melebihi ambang US$2,000 berikutan ketidaktentuan pasaran global, kata penganalisis.

Pengarah Urusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ketegangan geopolitik yang berlanjutan di Timur Tengah dengan kemungkinan penglibatan Amerika Syarikat (AS) mungkin mempengaruhi pasaran jongkong.

(FOTO FAIL)

“Penglibatan langsung AS cenderung memberi kesan yang lebih besar ke atas emas, sebahagiannya kerana pelabur mencari jongkong sebagai lindung nilai terakhir.

“Emas boleh bergerak lebih tinggi minggu depan jika AS terlibat secara lebih serius dalam konflik itu,” katanya kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah niaga hadapan emas domestik meningkat kepada 974 lot daripada 303 lot yang didagangkan minggu lepas manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 1,699 kontrak daripada 230 kontrak.

Berasaskan mingguan, kontrak bagi Oktober 2023 meningkat kepada US$1,987.80 setiap auns troy daripada US$1,891.10 sebelumnya; November 2023 naik kepada US$1,995.90 setiap auns troy daripada US$1,899.20; dan Disember 2023 menokok kepada US$2,006.40 setiap auns troy daripada US$1,909.70 minggu lepas.

Kontrak untuk Januari 2024, Februari 2024 dan April 2024 masing-masing diselesaikan lebih tinggi pada US$2,014.70 setiap auns troy berbanding US$1,918.00 minggu lepas.

Harga emas fizikal berada pada US$1,953.55 setiap auns troy seperti yang diterbitkan Persatuan Pasaran Jongkong London dalam laporan petang pada 19 Okt, 2023.-BERNAMA

Media Baharu