KUALA LUMPUR, 14 Februari- Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil pada Rabu dengan sokongan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dianggarkan sebanyak RM27.14 bilion dalam sistem konvensional manakala dana Islam pada RM21.11 bilion.
Pada hari ini, bank pusat itu akan melaksanakan dua tender pasaran wang konvensional bernilai RM500 juta masing-masing selama tujuh dan 14 hari serta tender Bil Antara Bank BNM (BNIB) berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 31 hari.
BNM akan turut menawarkan dua tender repo berbalik bernilai RM1 bilion masing-masing selama 29 hari dan 90 hari.
Selain itu, bank pusat itu juga mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar bagi tempoh satu dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM28.1 bilion dan RM21.1 bilion untuk tender semalaman Murabahah.- BERNAMA