
PETALING JAYA, 23 Julai– MBSB Berhad melupuskan keseluruhan pegangan ekuitinya dalam MIDF Amanah Asset Management Berhad (MAAM) sebagai langkah memperkukuh tumpuan terhadap perniagaan perbankan teras kumpulan.
- Pelupusan dilaksanakan melalui anak syarikat MIDF kepada Tortoise Works Sdn. Bhd.
- Pelupusan tidak dijangka memberi kesan kewangan yang material kepada kumpulan.
- MAAM mempunyai reputasi kukuh sepanjang 34 tahun dan dijangka terus berkembang di bawah pemilikan baharu.
- Tortoise Works komited meneruskan legasi MAAM, memacu pertumbuhan mampan, tadbir urus disiplin dan prestasi pelaburan kukuh.
MBSB dalam kenyataan memaklumkan, pelupusan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), kepada Tortoise Works Sdn. Bhd.
Pelupusan berkenaan tidak dijangka memberi kesan kewangan yang material kepada kumpulan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, langkah berkenaan selaras dengan strategi transformasi syarikat untuk memberi tumpuan yang lebih jelas kepada perniagaan perbankan teras.
“MAAM telah membina reputasi yang kukuh sepanjang 34 tahun penubuhannya dan kami yakin syarikat itu akan terus berkembang di bawah pemilikan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Tortoise Works Sdn. Bhd., Shan Kamahl Mohammad berkata, pihaknya komited meneruskan legasi MAAM sambil memacu pertumbuhan mampan, tadbir urus berdisiplin serta prestasi pelaburan yang kukuh.
Katanya, syarikat itu juga akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kesinambungan prestasi MAAM.
Pelupusan itu memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 9 Julai lalu sebelum urus niaga dimuktamadkan hari ini.