fb fb fb fb fb

iPhone 'kalahkan' Samsung selepas 12 tahun ungguli rekod jualan tertinggi

FOTO AFP

SAN FRANCISCO, 17 Januari- iPhone keluaran syarikat Apple buat pertama kali menjadi telefon pintar dengan penjualan terbesar di dunia selepas menyaingi rekod 12 tahun milik syarikat Samsung.

Menurut data oleh International Data Corporation (IDC) yang dikeluarkan pada Isnin lalu, iPhone 'merampas takhta' Samsung itu bagi jualan tahun lalu dengan 234.6 juta unit terjual, berbanding 226.6 juta unit daripada firma Korea Selatan tersebut.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) berkenaan menguasai 20.1 peratus bahagian pasaran mendahului 19.4 peratus Samsung, kata IDC.

Penganalisis berkata, peningkatan Apple adalah disebabkan kejayaan peranti premium seperti iPhone.

Ia juga menunjukkan pasaran semakin berpecah-belah untuk telefon pintar yang menggunakan sistem pengendalian Android, memetik saingan Samsung kelas rendah seperti Transsion dan Xiaomi serta Honor dan Google.

Kejayaan tawaran Huawei yang diterima baik di China juga memberi kesan ke atas penurunan jualan Samsung, kata IDC.

Menurut IDC, penghantaran telefon pintar global Samsung juga merosot 3.2 peratus kepada 1.17 bilion unit pada 2023, walaupun kumpulan itu berkata industri berkenaan telah pulih selepas tempoh 'lesu'.

"Pertumbuhan pada separuh kedua tahun itu telah mengukuhkan jangkaan pemulihan untuk 2024," kata IDC dalam satu kenyataan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA