KUALA LUMPUR, 28 November -Inflasi keseluruhan Malaysia turun kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025 berbanding 1.5 peratus pada September, manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 2.2 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataan memaklumkan, penurunan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan bukan teras.
"Hal ini termasuk penurunan berterusan dalam inflasi elektrik, berikutan pemberian rebat susulan kos penjanaan yang lebih rendah, serta harga bahan api yang lebih rendah sepanjang bulan tersebut," menurut kenyataan itu.
Eksport negara meningkat 15.7 peratus, dipacu pertumbuhan sektor elektrik dan elektronik sebanyak 26.5 peratus, sementara import berkembang 11.2 peratus berikutan kenaikan import barangan modal berkaitan pelaburan pusat data.
Lebihan dagangan pula kekal besar pada RM19 bilion.
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.7 peratus dengan pinjaman perniagaan dan isi rumah kekal stabil.
Sistem perbankan turut mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh, manakala ringgit mengukuh 0.5 peratus berbanding dolar Amerika susulan ketidakpastian tarif yang semakin reda selepas pengumuman perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.