fb fb fb fb fb

Hasil eksport Malaysia didorong penembusan pasaran baharu - Reezal Merican

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 14 November - Syarikat peringkat pertengahan dijangka terus mencatat hasil eksport positif tahun depan.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia akan didorong penembusan pasaran baharu selain peluang daripada perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian dua hala yang disertai Malaysia.

"55 pasaran baharu, pada 2022 termasuk Australia Greece, Chile dan Mauritius. Ini banyak juga dibantu perjanjian perdagangan, perjanjian pelbagai hala apa yang kita panggil perjanjian perdagangan bebas (FTA), Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang kita sudah ratifikasi dan ini membuka ruang utk penerokaan pasaran-pasaran baharu secara lebih meluas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2023.

Kata Reezal, pada 2022 hampir RM34 bilion pendapatan tahunan terkumpul direkodkan menerusi program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan.

Katanya, 61 peratus daripada hasil tersebut, dijana melalui eksport dengan pertumbuhan hampir 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN