fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi, kehendak risiko lebih baik

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi dagangan awal Isnin berikutan peningkatan selera risiko, didorong kenaikan harga minyak serta sentimen pasaran yang stabil selepas pembentangan Belanjawan 2024.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.32 mata kepada 1,445.46 daripada penutupan Jumaat pada 1,444.14.

Indeks utama memulakan dagangan dengan peningkatan sebanyak 1.22 mata  pada paras 1,445.36.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 140 berbalas 132, manakala 268 kaunter tidak berubah, 1,814 tidak diniagakan dan 24 digantung.

Jumlah dagangan 298.63 juta unit bernilai RM84.38 juta.

Minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent melonjak 5.7 peratus kepada US$90.89 setong pada Jumaat di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan tindak balas selepas pembentangan belanjawan di bursa tempatan adalah neutral, walaupun sokongan belian terhadap pemain pembinaan dijangka berterusan.

"Bagi pasaran yang lebih luas, kami mengunjurkan ia kekal lesu. Justeru, indeks utama diramalkan berlegar dalam julat 1,440-1,450 hari ini," katanya kepada Bernama. 

rtm
(Foto Fail)

Pada Jumaat minggu lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan telah menyediakan RM393.8 bilion untuk Belanjawan 2024 dengan tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai penerima utama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM7.36, IHH Healthcare menokok tiga sen menjadi RM5.99, Maybank dan CIMB masing-masing susut satu sen kepada RM8.97 dan RM5.65 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.17.

Bagi saham aktif, Classita dan Tanco, kedua-duanya turun 0.5 sen untuk mencatatkan harga 6.5 sen dan 56.5 sen sementara Compugates dan Velesto peroleh 0.5 sen, masing-masing pada harga 1.5 sen dan 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.23 mata kepada 10,704.18, Indeks FBMT 100 naik 8.46 mata  menjadi 10,365.34 dan Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 12.54 mata kepada 10,938.01.

Indeks FBM 70 meraih 6.97 mata kepada 14,220.39 manakala Indeks FBM ACE menambah 0.34 mata kepada 5,145.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 20.02 mata kepada 16,284.2, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata menjadi 174.86, Indeks Tenaga peroleh 9.27 mata untuk mencatatkan paras 886.63 dan Indeks Perladangan menokok 2.97 mata kepada 7,865.7.- BERNAMA

Media Baharu