fb fb fb fb fb

Zelensky sedia runding damai dengan syarat gencatan senjata

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy

KIEV, 22 April- Ukraine menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan damai secara langsung dengan Rusia, namun meletakkan syarat, hanya selepas gencatan senjata dipersetujui.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan perkara itu pada Selasa, di tengah-tengah tekanan baharu dari Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik yang berlarutan selama tiga tahun.

Presiden AS, Donald Trump, yang menghantar utusan khasnya, Steve Witkoff ke Moscow minggu ini, dilaporkan berusaha memulakan semula rundingan damai.

White House turut memaklumkan seorang lagi wakil AS akan menyertai rundingan bersama pegawai Eropah di London pada Rabu.

Media AS sebelum ini melaporkan bahawa Trump mencadangkan wilayah Crimea yang telah dikuasai Rusia diiktiraf sebagai milik Moscow dan perkara itu dijangka dibincangkan dalam rundingan akan datang.

"Selepas gencatan senjata dicapai, kami bersedia untuk duduk berbincang dalam apa-apa format sekali pun," kata Zelensky kepada wartawan semasa sidang media menjelang rundingan penting di London berkaitan penyelesaian konflik Ukraine.

Trump sebelum ini berjanji akan mencapai perjanjian damai antara Moscow dan Kiev dalam tempoh 24 jam selepas mengambil alih jawatan.

Namun, dalam tempoh tiga bulan pentadbirannya, beliau masih gagal mendapatkan sebarang konsesi daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Hujung minggu lalu, Trump menyatakan harapan bahawa perjanjian damai dapat dicapai "minggu ini", walaupun tiada tanda-tanda jelas kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan, termasuk untuk memeterai gencatan senjata jangka pendek.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM