GENEVA, 31 Ogos-Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata vaksin Mpox dijangka tiba ke Republik Demokratik Congo dalam masa beberapa hari lagi untuk melawan strain baharu virus berkenaan.
"Kami berharap dapat menerima penghantaran pertama dalam beberapa hari akan datang, dan selepas itu ia akan berterusan," kata Tedros kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.
Pegawai WHO, Tim Nguyen berkata Kira-kira 230,000 dos mpox tersedia untuk dihantar dengan segera dan didermakan oleh Suruhanjaya Eropah dan pengeluar vaksin mpox Denmark, Bavarian Nordic <BAVA.CO>.
WHO menyatakan bahawa rakan kongsinya boleh mula membeli vaksin mpox sebelum ia diluluskan oleh agensi kesihatan PBB, dengan melonggarkan peraturan biasa untuk mempercepatkan proses vaksinasi ke Afrika.
Pada masa ini, WHO sedang mengkaji permohonan untuk lesen kecemasan bagi dua vaksin yang dihasilkan oleh Bavarian Nordic dan KM Biologics dari Jepun.
Tedros berkata, lesen tersebut dijangka diberikan dalam tempoh dua minggu akan datang.
Ketua Teknikal WHO untuk mpox,Rosamund Lewis berkata beliau berharap vaksin-vaksin tersebut dan intervensi lain oleh rakan kongsi kesihatan lain akan membantu mengurangkan kes dalam masa terdekat.
Seorang pengeluar kit diagnostik mpox juga menyatakan minat untuk mendapatkan senarai penggunaan kecemasan WHO bagi kit mereka sehari selepas agensi itu membuka proses tersebut, kata Tedros tanpa menamakan syarikat tersebut.
Awal bulan ini, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global berikutan wabak jangkitan virus di Republik Demokratik Congo yang merebak ke negara-negara jiran.
Lebih daripada 18,000 kes disyaki mpox telah dilaporkan di Congo setakat tahun ini dengan 629 kematian, manakala lebih 150 kes juga telah disahkan di Burundi, kata Tedros.-REUTERS
BERITA BERKAITAN :