fb fb fb fb fb

Gabon catat kes pertama Mpox

Foto Hiasan/ REUTERS

MOSCOW, 23 Ogos- Kes pertama Mpox telah dicatatkan di Gabon, kata Kementerian Kesihatan Gabon pada Jumaat, lapor Sputnik.

“Hari ini, 22 Ogos 2024, kerajaan mengumumkan kes pertama Mpox di Gabon,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pesakit berkenaan adalah seorang warganegara Gabon berusia 30 tahun yang baru pulang dari Uganda, negara yang terjejas oleh penyakit itu, menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa dia mengalami gejala termasuk demam, keletihan dan ruam beberapa hari selepas pulang ke rumah.

Pihak berkuasa kini berusaha mengenal pasti individu yang berhubung dengannya, katanya.

Pada 13 Ogos, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berhubung wabak Mpox di benua itu dan menyeru masyarakat antarabangsa membantu mengumpul kira-kira dua juta dos vaksin.

Minggu lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Mpox di Afrika sebagai darurat kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa.

Mpox, juga dikenali sebagai cacar monyet ialah penyakit berjangkit yang jarang berlaku dan boleh merebak antara manusia. Ia biasanya merupakan penyakit ringan yang kebanyakan orang sembuh dalam beberapa minggu, tetapi ada yang mungkin mengalami komplikasi.

Gejala awal Mpox termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, kelenjar limfa membesar, menggigil dan keletihan. Ruam mungkin muncul, selalunya bermula di muka dan kemudian merebak ke bahagian badan lain. -BERNAMA-SPUTNIK

ZEHRA BINTI ZAMBRI