BEIRUT, 24 Ogos- Serangan udara Israel di seluruh selatan Lubnan pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya lapan pejuang dan seorang kanak-kanak apabila kumpulan bersenjata Hizbullah membalas dengan tembakan meriam dan roket ke seluruh sempadan, menurut sumber keselamatan.
Tentera Israel telah bertempur dengan Hizbullah yang disokong Iran di sepanjang sempadan selatan Lubnan seiring dengan perang di Gaza, dengan permusuhan semakin memuncak baru-baru ini di tengah-tengah kebimbangan bahawa perang serantau secara besar-besaran mungkin akan meletus.
Serangan Israel membunuh enam pejuang Hizbullah di pelbagai bandar di selatan, menurut notis kematian kumpulan itu dan sumber keselamatan.
Seorang lagi pejuang terbunuh dalam serangan berasingan di luar Aitarun namun tidak dapat dipastikan sama ada pejuang itu adalah anggota Hizbullah.
Serangan Israel yang berasingan di kampung Aita, kira-kira 14km ke utara sempadan dengan Israel, turut membunuh seorang pejuang dan seorang kanak-kanak, kata sumber keselamatan kepada Reuters.
Hizbullah mengesahkan pejuang yang terbunuh di Aita sebagai Mohammad Najem.
Tentera Israel, dalam satu kenyataan yang disiarkan secara dalam talian mengatakan bahawa mereka telah mensasarkan Najem di Aita kerana dia adalah anggota unit roket dan peluru berpandu Hizbullah dan mereka telah mensasarkan dua pejuang Hizbullah lain di selatan.
Kenyataan tersebut menyebut bahawa beberapa serangan yang dilancarkan dari wilayah Lubnan telah melintasi ke utara Israel tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Pejabat akhbar Hizbullah berkata kumpulan itu telah melepaskan roket dan tembakan meriam ke ke arah tentera Israel sepanjang hari.
Lebih daripada 600 orang di Lubnan telah terbunuh sejak permulaan serangan pada Oktober lalu, termasuk lebih daripada 400 pejuang Hizbullah dan lebih daripada 130 orang awam, menurut angka Reuters.- REUTERS