fb fb fb fb fb

Tiga maut kes tikaman di barat Jerman

Foto REUTERS

SOLINGEN, 24 Ogos - Tiga orang terbunuh manakala beberapa yang lain cedera parah dalam serangan tikaman di sebuah festival pada malam Jumaat di barat Jerman, kata pihak polis.

Pihak polis berkata pada kejadian yang berlaku sekitar pukul 10.00 malam (waktu tempatan), seorang lelaki yang tidak dikenali telah menyerang beberapa orang.

Sumber akhbar Bild memetik saksi mengatakan bahawa pelaku masih lagi bebas.

“Hati saya hancur apabila terdapat pembunuhan di bandar kita.

"Saya mengalirkan air mata apabila memikirkan mereka yang telah meninggal dunia. Saya berdoa untuk semua yang masih berjuang untuk hidup mereka," kata Datuk Bandar Tim-Oliver Kurzbach dalam satu kenyataan.

Polis berkata serangan itu berlaku di festival ulang tahun ke-650 bandar berkenaan.

"Terdapat beberapa kematian dan kecederaan akibat serangan pisau," kata polis dalam satu hantaran di X.

Serangan itu berlaku di Fronhof, kata kenyataan Datuk Bandar, sebuah dataran pasar di mana kumpulan muzik bermain secara langsung.

Menteri Dalam Negeri Jerman , Herbert Reul yang melawat tempat kejadian memberitahu wartawan bahawa ia adalah serangan yang disasarkan ke atas orang awam, tetapi enggan membuat spekulasi mengenai motif kejadian..

Solingen terletak di negeri North Rhine-Westphalia, negeri paling padat di Jerman dan bersempadan dengan Belanda.

Kes tikaman dan tembakan maut jarang berlaku di Jerman.

Jun lalu, seorang anggota polis berusia 29 tahun meninggal dunia selepas ditikam di bandar Mannheim, semasa serangan pada satu demonstrasi sayap kanan.

Pada 2021,terdapat serangan tikaman di sebuah kereta api mencederakan beberapa orang.

Kerajaan Jerman berhasrat untuk mengetatkan peraturan mengenai senjata dan pisau yang boleh dibawa di tempat awam dengan menghadkan saiz pisau yang dibawa.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD