fb fb fb fb fb

Pasangan panda tua di Tokyo akan dihantar pulang ke China

Panda gergasi betina, Shin Shin, dilihat sedang makan buluh di dalam kurungannya di Zoo Ueno, Tokyo / FOTO AFP

TOKYO, 31 Ogos- Dua ekor panda tua di sebuah zoo di Tokyo akan dihantar pulang ke China bulan depan untuk mendapatkan rawatan perubatan, kata gabenor bandar tersebut, dengan para pengunjung beratur pada hari Sabtu untuk melihat mamalia tersebut buat kali terakhir.

Panda bernama Ri Ri dan Shin Shin tiba di Zoo Ueno pada tahun 2011 dan dijadualkan tinggal di sana sehingga Februari 2026, tetapi Jepun dan China bersetuju bahawa adalah lebih baik untuk menghantar panda yang berusia 19 tahun itu pulang ke negara asal mereka.

"Gejala seperti tekanan darah tinggi dikesan pada haiwan berkenaan sejak dua tahun yang lalu. Mereka kini mengambil ubat dan menjalani ujian perubatan, tetapi tidak ada kemajuan yang ketara," kata Gabenor Tokyo, Yuriko Koike.

"Saya tahu ada yang akan sedih melihat mereka pergi, tetapi apabila kita memikirkan tentang kesihatan panda-panda yang disayangi, adalah lebih baik jika kita melepaskan mereka dengan hati yang terbuka."

Sesi tontonan terakhir dijadualkan pada 28 September, tetapi media tempatan melaporkan orang ramai sudah membanjiri zoo tersebut untuk melihat panda-panda berkenaan buat kali terakhir.

Pasangan panda itu melahirkan anak pada tahun 2017, yang dinamakan Xiang Xiang, anak panda pertama zoo tersebut sejak 1988, yang menjadi tarikan utama serta kembar pada tahun 2021.

Ramai peminat sedih apabila Xiang Xiang dihantar pulang ke China tahun lalu, dan pemergiannya disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.

Mamalia hitam putih itu sangat popular di seluruh dunia, dan China meminjamkan mereka sebagai sebahagian daripada program diplomasi panda untuk mengukuhkan hubungan dengan negara luar.

Terdapat kira-kira 1,860 ekor panda gergasi yang masih hidup di alam liar, terutamanya di hutan buluh di pergunungan China, menurut kumpulan alam sekitar WWF.

Manakala terdapat kira-kira 600 ekor ditempatkan di pusat panda, zoo dan taman hidupan liar di seluruh dunia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE