fb fb fb fb fb

Sepanyol sumbang 500,000 dos vaksin mpox ke Afrika Tengah

Seorang wanita mendukung bayi yang mengalami mpox di Hospital Kavumu, 30 km utara Bukavu di timur Republik Demokratik Congo, pada 24 Ogos 2024/AFP

MADRID, 27 Ogos- Sepanyol akan menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin mpox kepada negara-negara di Afrika Tengah yang mengalami lonjakan kes.

"Jumlah dos itu mewakili 20 peratus simpanan vaksin mpox Sepanyol," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan tanpa menyebut negara yang akan menerima atau bila vaksin tersebut akan tiba.

Sepanyol juga menyeru rakan-rakan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengikuti jejaknya sambil mengatakan "tidak masuk akal untuk menyimpan vaksin di negara yang tidak mengalami masalah itu," tambah kenyataan tersebut.

Sebelum ini Perancis dan Jerman mengumumkan akan menyumbang 100,000 dos vaksin mpox kepada negara-negara yang terkesan wabak berkenaan.

Mpox, dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, adalah penyakit berjangkit disebabkan virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan dijangkiti dan boleh ditularkan dari manusia ke manusia melalui kontak fizikal rapat.

Ia menyebabkan simptom seperti demam, sakit otot dan ruam atau luka pada kulit. Selain itu mpox boleh membawa kepada kematian dalam sejumlah kes yang semakin meningkat.

Kebangkitan semula mpox serta pengesanan di Republik Demokratik Congo terhadap strain baharu, dinamakan Clade 1b, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan tahap amaran antarabangsa tertinggi pada 14 Ogos lepas.

Kejadian wabak dikesan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda sejak bulan Julai.

Bagaimanapun tiada kes mpox dilaporkan di Sepanyol setakat ini. Namun Agensi Kesihatan Awam Sweden mengumumkan awal bulan ini bahawa ia merekodkan satu kes varian Clade 1b sekali gus menjadi kes pertama di Eropah.

Ia melibatkan pesakit yang dijangkiti semasa lawatan ke negara Afrika. -AFP

SITI AISHAH MD ISA