fb fb fb fb fb

Seorang maut akibat penyakit bawaan nyamuk jarang berlaku di AS

Foto Hiasan/ AFP

WASHINGTON, 28 Ogos- Seorang lelaki dewasa Amerika Syarikat (AS) di New Hampshire maut selepas dijangkiti virus bawaan nyamuk yang jarang berlaku, 'eastern equine encephalitis' atau EEE.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS) New Hampshire dalam kenyataannya berkata
pesakit dari bandar Hampstead itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami penyakit sistem saraf yang teruk dan kemudiannya meninggal dunia.

"Jangkitan virus EEE manusia terakhir dilaporkan di New Hampshire adalah pada 2014, apabila DHHS mengenal pasti tiga jangkitan manusia, termasuk dua kematian," kata jabatan itu.

Jangkitan dan kematian baharu itu berlaku ketika peningkatan kebimbangan dalam kalangan pegawai di seluruh New England tentang peningkatan risiko EEE, ancaman yang dipercayai diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Awal bulan ini, Massachusetts mengumumkan kes manusia pertama EEE di negeri itu - seorang lelaki berusia 80-an - dan pegawai telah meminta orang ramai untuk mematuhi perintah berkurung di luar secara sukarela, menutup taman awam, dan memulakan semburan bagi mengawal populasi nyamuk. .

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, gejala penyakit itu termasuk demam, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sawan, perubahan tingkah laku dan mengantuk.

Ia juga boleh menyebabkan penyakit neurologi yang teruk, seperti keradangan otak dan membran di sekitar saraf tunjang, yang dikenali sebagai ensefalitis dan meningitis.

Kira-kira 30 peratus daripada mereka yang dijangkiti maut dan yang terselamat akan mengalami kesan fizikal atau mental yang berterusan.

Individu di bawah 15 dan lebih 50 tahun dianggap berisiko lebih tinggi dan setakat ini tiada vaksin atau rawatan tersedia.

Pegawai kesihatan menasihatkan orang ramai menggunakan penghalau serangga, memakai pakaian pelindung di luar rumah dan menghapuskan takungan air di sekitar rumah untuk mengurangkan tempat pembiakan nyamuk.

Laporan 2023 oleh Climate Central menyatakan bilangan 'hari nyamuk' - keadaan panas dan lembap yang sesuai untuk pembiakan - meningkat di serata AS sepanjang empat dekad yang lalu, disebabkan oleh perubahan iklim yang berpunca daripada perbuatan-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI