fb fb fb fb fb

Tiada tempat selamat di Gaza- Ketua UNRWA

Imej satelit hitam-putih menunjukkan asap naik dari sebuah bangunan dan gambaran keseluruhan Rafah di selatan Semenanjung Gaza, pada 7 Mei 2024/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 12 Mei- Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini, mengecam tanggapan “zon selamat” di Gaza sebagai palsu dan mengelirukan.

Beliau meluahkan kebimbangannya terhadap situasi perpindahan berterusan penduduk Palestin di Gaza serta menegaskan pihak berkuasa Israel terus mengeluarkan arahan perpindahan paksa yang dikenali sebagai "perintah pemindahan."

"Ini memaksa penduduk di Rafah untuk lari ke mana-mana sahaja.

“Sejak perang bermula (7 Okt), kebanyakan orang di Gaza telah berpindah beberapa kali: secara purata sekali sebulan dan 'terdesak mencari keselamatan yang tidak pernah mereka temui'."

“Dakwaan 'zon selamat' adalah palsu dan mengelirukan. Tiada tempat yang selamat di Gaza," tulisnya di platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Tambahnya, sesetengah orang tiada pilihan kecuali tinggal di tempat perlindungan UNRWA yang telah dibom.

Sementara itu, menerusi platform X, UNRWA menganggarkan kira-kira 300,000 orang kini melarikan diri dari Rafah kerana perpindahan paksa yang tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin sepanjang minggu lepas.

Israel telah melancarkan serangan tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, yang mengakibatkan hampir 35,000 penduduk Palestin terkorban.

Tujuh bulan berlalu, peperangan Israel meninggalkan banyak kawasan Gaza musnah, memaksa 85 peratus daripada penduduknya berpindah di dalam wilayah mereka sendiri, di samping sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Israel telah didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan interim pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk memastikan bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI