fb fb fb fb fb

Thailand tawar kemasukan tanpa visa kepada pelancong India dan Taiwan

FOTO REUTERS

BANGKOK, 31 Oktober-Thailand akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong dari India dan Taiwan dalam usaha kerajaan itu untuk membina semula sektor pelancongan utama selepas ia dilanda wabak itu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Srettha Thavisin pada Selasa.

Pelawat India dan Taiwan dibenarkan untuk tinggal sehingga 30 hari di Thailand, untuk tempoh purcubaan selama enam bulan, yang akan bermula bulan depan.

Sektor pelancongan negara gajah putih itu menyumbang hampir 20 peratus daripada keseluruhan KDNK, tetapi ia turut bergelut untuk bangkit semula sejak penularan wabak COVID-19.

"Kami akan menyediakan kemasukan tanpa visa ke India dan Taiwan kerana ramai rakyat mereka suka melancong ke Thailand," kata Srettha Thavisin kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet mingguan.

Sehingga kini, pelancong dari India dan Taiwan terpaksa memohon visa semasa ketibaan selama 15 hari di pusat pemeriksaan imigresen, dengan mengemukakan penyata bank dan bukti penginapan.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan membuka skim bebas visa yang sama untuk pelancong China pada September.

Jurucakap kerajaan Chai Watcharong berkata pihak berkuasa berharap skim itu akan menarik 1.4 juta pelancong tambahan, menjana pendapatan tambahan 55 bilion baht (AS$1.5 bilion).

Kira-kira 1.2 juta warga India melawat Thailand dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 menurut data kementerian pelancongan, jumlah keempat tertinggi selepas Malaysia, China dan Korea Selatan.

Srettha, yang mengambil alih kuasa pada Ogos berikutan perbalahan politik selepas pilihan raya Mei, berkata meningkatkan sektor pelancongan dan merangsang ekonomi adalah antara keutamaannya.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE