BRUSSELS,11 Oktober- Lebih 100 rakyat Eropah dipindahkan oleh tentera Belgium dari Lubnan menerusi kapal terbang tentera pada petang semalam (Khamis).
Kebanyakan yang diselamatkan terdiri daripada rakyat Belgium, Belanda dan Perancis.
Sebuah pesawat yang mendarat di pangkalan tentera Melsbroek berhampiran ibu negara Belgium membawa 58 warga Belgium, 41 warga Belanda, 11 dari Perancis, serta seorang dari Luxembourg, menurut jurucakap kementerian luar negara kepada AFP pada Jumaat.
Sepanjang minggu lalu, hampir 150 daripada kira-kira 1,800 rakyat Belgium yang tinggal di Lubnan telah mendapat bantuan untuk kembali ke Belgium, katanya.
Kumpulan pertama telah meninggalkan Lebanon minggu lalu melalui dua penerbangan yang diatur oleh Belanda, termasuk dua wartawan Belgium yang diserang dan cedera di Beirut ketika membuat liputan serangan udara Israel pada malam 2 hingga 3 Oktober.
"Semua rakyat Belgium yang ingin keluar telah dapat berbuat demikian. Kami terus memantau keadaan semasa," kata jurucakap itu.
Pasukan darat Israel telah menceroboh Lubnan pada 30 September, dengan menyatakan tujuan mereka adalah untuk menghentikan serangan rentas sempadan oleh Hizbullah yang menyokong kumpulan Hamas.-AFP