fb fb fb fb fb

Taufan Yagi: 268 orang terkorban di Myanmar

Kawasan sawah yang ditenggelami air berhampiran kampung Phayarphyu, Loikaw di negeri Karenni Myanmar/ AFP

YANGON, 19 September- Angka kematian di Myanmar susulan Taufan Yagi mencecah 268 orang dan 88 orang dilaporkan hilang.

Pihak penerangan junta dalam kenyataan berkata bencana tersebut menyebabkan berlakunya banjir di 56 kawasan di Myanmar.

Menurut kenyataan itu, hampir 270,000 hektar kawasan tanaman ditenggelami air dan lebih 100,000 haiwan ternakan mati.

Banjir telah menambahkan penderitaan kepada negara yang mempunyai jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik selama lebih tiga tahun, susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa seramai 630,000 orang memerlukan bantuan di Myanmar susulan Taufan Yagi.

Minggu lalu junta merayu bantuan asing untuk membantu menangani bencana itu. Semalam, sebuah kapal tentera laut India menghantar bantuan termasuk makanan kering, pakaian, ubat-ubatan dan khemah ke pelabuhan Thilawa di hab komersial Yangon Myanmar.

Ketua Junta Min Aung Hlaing mengarahkan semua menjalankan tugas pemulihan untuk kembali normal dalam tempoh enam bulan", lapor Global New Light Myanmar yang dikendalikan kerajaan pada Khamis.

Taufan Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar lebih seminggu lalu, sehingga mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan 588 orang terbunuh di seluruh wilayah itu.- AFP

ROSLINA BINTI DIN