fb fb fb fb fb

Taufan Tropika Alfred, dijangka landa pantai timur Australia

Foto Media Sosial

SYDNEY, 4 Mac- Kawasan pantai timur Australia yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dalam fasa siap siaga bagi menghadapi Taufan Tropika Alfred, yang berpotensi menjadi taufan pertama melanda rantau itu dalam tempoh 50 tahun.

Taufan Tropika Alfred kini berada kira-kira 550 kilometer di timur bandar utama Brisbane dan dijangka bergerak menuju ke daratan lewat hari ini.

Jurucakap Biro Meteorologi, Dean Narramore, berkata taufan itu dijangka melanda pantai lewat Khamis atau awal Jumaat, dengan kawasan antara Brisbane dan destinasi pelancongan Sunshine Coast menjadi sasaran utama.

"Ia bukan rekod baharu tetapi ia agak luar biasa," kata Narramore kepada AFP.

Kira-kira tiga juta orang tinggal di sepanjang kawasan 100 kilometer yang menghubungkan Brisbane dan Sunshine Coast, kawasan yang terkenal dengan cuaca nyaman dan pantai berpasir emas.

Walaupun taufan adalah fenomena biasa di perairan tropika Australia, ia jarang melanda kawasan yang lebih padat penduduk di selatan.

Kawasan sungai utara New South Wales yang sering dilanda banjir, terletak di selatan Brisbane, turut dijangka terjejas.

Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, menggesa penduduk bandar-bandar kecil untuk bersiap sedia menghadapi situasi bencana terburuk itu.

Penyelidik iklim, Tom Mortlock berkata suhu permukaan laut yang luar biasa panas menjadi punca kepada pembentukan taufan tersebut.

"Taufan Tropika Alfred mengingatkan kita bahawa taufan tropika masih boleh bergerak lebih jauh ke selatan," katanya.

Menurut ramalan rasmi, Taufan Tropika Alfred, berada pada kategori dua, akan membawa angin kencang dengan kelajuan sehingga 120 kilometer sejam dan berpotensi menyebabkan "banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa".- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM