JOHANNESBURG, 19 Disember- Taufan Chido meragut 13 nyawa di Malawi selepas memusnahkan kepulauan Mayotte di wilayah luar negara Perancis serta melanda Mozambique, menurut Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana Malawi pada Rabu.
Chido yang telah bergerak lebih 500 kilometer ke kewasan pedalaman turut mencederakan hampir 30 orang dan menjejaskan kira-kira 45,000 penduduk di Malawi pada Isnin walaupun kekuatannya dilaporkan semakin berkurangan.
Antara kawasan terjejas ialah Blantyre, bandar kedua terbesar di negara itu dengan populasi seramai 800,000 orang pada tahun 2018.
Jabatan berkenaan turut memaklumkan bahawa daripada 10,159 isi rumah yang terkesan, 227 penduduk kini kehilangan tempat tinggal.
Malawi yang merupakan salah satu negara termiskin di dunia menyaksikan 71 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan tegar, menurut data Bank Dunia.
Terdahulu, di Mayotte, taufan tersebut telah meragut 31 nyawa dan mencederakan lebih 1,000 orang, menurut anggaran terkini pihak berkuasa pada Rabu.
Sementara di Mozambique, sekurang-kurangnya 45 orang terkorban dan hampir 500 lagi cedera, berdasarkan laporan rasmi yang dikeluarkan pada hari sama.
BERITA BERKAITAN