fb fb fb fb fb

13 maut selepas bot laju tentera laut India rempuh feri

Tangkap layar video tular menerusi individu yang berada atas feri sebelum bot laju tentera laut India hilang kawalan dan merempuh feri terbabit/Twitter @MithilaWaala

MUMBAI,19 Disember- Seramai 13 orang terkorban apabila sebuah bot laju milik tentera laut India hilang kawalan dan merempuh sebuah feri yang sesak dengan penumpang di luar pantai Mumbai, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Bot laju tersebut yang sedang menjalani ujian enjin di perairan sibuk itu dilapor merempuh feri penumpang yang membawa lebih 100 orang dari Gateway of India ke Pulau Elephanta, destinasi pelancongan terkenal. Feri itu dilaporkan terbalik selepas insiden berlaku.

"Doktor telah mengisytiharkan 13 orang maut," kata Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis.

"Saya mengucapkan takziah yang mendalam kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam kemalangan ini. Kami berkongsi kesedihan bersama keluarga mereka," tambahnya.

Menurut kenyataan tentera laut India, kejadian itu berpunca daripada kerosakan enjin pada bot laju yang menjalani ujian.

"Kami amat kesal atas kehilangan tragis ini," kata jurucakap tentera laut.

Mangsa yang maut termasuk seorang anggota tentera laut dan dua wakil syarikat pembuat peralatan yang terlibat dalam ujian tersebut.

Dua lagi mangsa yang cedera parah telah dibawa ke hospital tentera laut untuk rawatan.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan segera selepas kejadian itu melibatkan empat helikopter tentera laut, 11 kapal tentera laut, serta bot pengawal pantai dan polis.

SITI AISHAH MD ISA