MAPUTO, 17 Disember- Taufan tropika Chido yang melanda utara Mozambique telah mengorbankan 15 nyawa.
Menurut Institut Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (INGD) negara itu, musibah itu menyebabkan kira-kira 172,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Presiden INGD, Luisa Meque berkata sebanyak 5,832 rumah musnah akibat taufan tersebut dan kesan taufan itu masih dalam pemantauan.
"Kami juga menerima maklumat bahawa 69 bot hilang dan 102 bot musnah di Daerah Memba," kata Meque kepada media di Daerah Memba, Wilayah Nampula, pada Isnin.
Taufan itu turut menjejaskan bekalan elektrik.
Syarikat bekalan elektrik di Mozambique dalam satu kenyataan memaklumkan kira-kira 200,000 pelanggan di Wilayah Nampula dan Cabo Delgado terputus bekalan elektrik.
Menurut Institut Meteorologi Nasional (INAM), taufan tropika Chido, yang membawa hujan lebat dan angin kencang, telah melanda wilayah Cabo Delgado, Nampula dan Niassa sebelum melemah menjadi ribut tropika sederhana.
Menurut pakar meteorologi INAM, Acacio Tembe, pusat ribut kini bergerak ke Malawi tetapi dijangka menjejaskan wilayah tengah Mozambique seperti Tete, Zambezia dan Manica dengan angin berkelajuan 70 km/j dan angin kencang sehingga 100 km/j.
Tindak balas nasional terhadap bencana ini sedang dijalankan, dengan pasukan di lapangan menilai kerosakan dan menyediakan bantuan kepada penduduk yang terjejas.