FLORIDA, 4 Mac- Tiga angkasawan Amerika dan seorang angkasawan Rusia dijadualkan berlepas ke angkasa lepas pada Ahad dari Florida untuk misi enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Selepas satu percubaan pelepasan pada malam Sabtu dibatalkan akibat angin kencang, roket SpaceX Falcon 9 dijangka membawa kesemua angkasawan itu ke orbit pada 10:53 malam dari Pusat Angkasa Kennedy.
Jika pelepasan tersebut masih menemui kegagalan, SpaceX akan mempunyai peluang lain pada malam Isnin.
Endeavour, kapsul yang membawa empat angkasawan, seorang daripadanya wanita, telah pun dilancarkan sebanyak empat kali oleh SpaceX milik Elon Musk.
Syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan pelancaran angkasawan untuk NASA sejak 2020 bawah Program Kru Komersial agensi angkasa AS, dengan kontraktor pesaing Boeing masih belum menamatkan pensijilannya.
Matthew Dominick, ketua misi Crew-8, membuat penerbangan angkasa lepas pertamanya, begitu juga dengan Jeanette Epps. Ia juga akan menjadi kali pertama untuk Alexander Grebenkin dari Rusia.
Michael Barratt, seorang doktor, membuat lawatan ketiganya ke ISS. Dua misi pertamanya menaiki pesawat ulang-alik, yang telah dihentikan pada 2011.
Angkasa lepas kekal sebagai kawasan kerjasama yang jarang berlaku antara Amerika Syarikat dan Rusia sejak pencerobohan Ukraine pada 2022.
Amerika Syarikat bulan lepas mengenakan sekatan baharu ke atas 500 sasaran Rusia, juga bertujuan untuk menuntut kos bagi kematian ketua pembangkang Rusia Alexei Navalny di penjara Artik.
Ketika ini, seramai tujuh angkasawan berada di ISS termasuk empat anggota kru semasa iaitu seorang warga Amerika, seorang Denmark dan seorang masing-masing dari Jepun dan Rusia yang akan kembali ke bumi dalam kapsul mereka sendiri.
Krew yang baharu akan menjalankan eksperimen termasuk menggunakan stem sel untuk mencipta organoid (jisim sel tumbuh buatan yang menyerupai organ) untuk mengkaji penyakit degeneratif, mengambil kesempatan daripada persekitaran mikrograviti untuk membolehkan pertumbuhan sel tiga dimensi tidak mungkin berlaku di bumi.
Joel Montalbano, pengurus program ISS di NASA, memberitahu pemberita minggu lalu bahawa Amerika Syarikat sedang memerhatikan kebocoran kecil di bahagian platform penyelidikan Rusia.
Salah satu pintu kini ditutup untuk mengasingkan kebocoran dari seluruh ISS.-AFP