Dua kapal tangki minyak UAE diserang di Selat Hormuz

Foto REUTERS

TEHRAN, 14 Julai Dua kapal tangki minyak milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) diserang dengan peluru berpandu oleh Iran di Selat Hormuz pada Selasa, mengorbankan seorang anak kapal warga India manakala lapan lagi cedera, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di laluan perkapalan global itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran tercetus di dek kedua-dua kapal, menyebabkan kerosakan; api berjaya dikawal sepenuhnya.
  • Kementerian Pertahanan UAE mengutuk serangan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menegaskan kesiapsiagaan penuh negara.
  • Kementerian Luar mengecam sasaran kapal dagang sebagai pemerasan ekonomi yang mengancam kestabilan serantau, keselamatan tenaga dan perdagangan global.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan UAE, serangan ke atas dua kapal tangki berkenaan, Mombasa dan Al Bahiyah, berlaku ketika kedua-duanya sedang melalui laluan selatan Selat Hormuz.

“Serangan ke atas kapal Mombasa telah mengorbankan seorang anak kapal warga India, manakala lapan lagi cedera termasuk empat yang mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang cedera terdiri daripada enam warga India dan dua warga Ukraine,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa serangan berkenaan mengakibatkan kerosakan pada kedua-dua kapal itu selepas kebakaran tercetus di atas dek, namun api berjaya dikawal sepenuhnya.

Kementerian Pertahanan UAE mengutuk keras serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, sambil menegaskan kesiapsiagaan penuh negara itu untuk menghadapi sebarang ancaman.

Sementara itu, Kementerian Luar UAE dalam satu kenyataan berasingan menegaskan bahawa tindakan menyasarkan kapal dagang komersial dan menjadikan Selat Hormuz sebagai alat pemerasan ekonomi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

UAE turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian memberi ancaman langsung kepada kestabilan serantau serta keselamatan tenaga dan perdagangan global.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi insiden serangan dilaporkan berlaku pada Isnin waktu tempatan melibatkan sebuah kapal tangki minyak yang terkena bedilan projektil tidak dikenali di perairan Oman.

Bagaimanapun, kesemua anak kapal dilaporkan selamat dan tiada sebarang kesan tumpahan minyak atau pencemaran alam sekitar dikesan berlaku akibat impak serangan tersebut. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.