fb fb fb fb fb

Serpihan dron Rusia ditemukan di Romania, tiada tanda serangan disengajakan

Serpihan dron Geran 1/2 Rusia ditemukan di lokasi berhampiran kampung Plauru, Romania/ REUTERS

KIEV, 26 Julai- Serpihan dron Rusia ditemukan di wilayah Romania pada Khamis namun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata ia tidak melihat sebarang tanda serangan sengaja ke atas wilayah perikatan itu selepas tentera Moscow melepaskan 38 dron jarak jauh ke Ukraine.

Bagaimanapun Tentera Udara Ukraine memusnahkan 25 dron Rusia, kata ketuanya menerusi aplikasi Telegram. Tiga dron "telah hilang selepas menyeberangi sempadan negeri dengan Romania", tambahnya.

Kementerian Pertahanan Romania berkata, serpihan dron Geran 1/2 Rusia ditemukan berhampiran kampung Plauru di seberang Sungai Danube dari bandar pelabuhan selatan Ukraine, Izmail yang diserang pada malam kedua berturut-turut.

Jurucakap NATO yang mengulas laporan berkenaan dalam satu kenyataan menyifatkan ia tidak ada tanda-tanda serangan yang disengajakan ke atas wilayah perikatan itu.

"Walaupun NATO tidak mempunyai maklumat yang menunjukkan sebarang serangan yang disengajakan oleh Rusia terhadap wilayah itu, tindakan berkenaa adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi mendatangkan bahaya," katanya.

Dua jet pejuang F-18 Finland, sebahagian daripada misi kepolisan udara NATO di Romania, telah bergegas untuk memantau serangan itu, tambah kementerian itu.

Pencarian serpihan lain diteruskan dan semua lokasi dikhuatiri terjatuh "berada di luar kawasan kediaman dan tiada unsur infrastruktur rosak", katanya.

Romania berkongsi sempadan kira-kira 650 kilometer dengan Ukraine dan telah menyebabkan serpihan dron Rusia tersasar ke wilayahnya berulang kali sepanjang tahun lalu.

Rusia menyerang infrastruktur di wilayah selatan Odesa dan tengah Ukraine.

Gabenor wilayah Odesa Oleh Kiper berkata dua individu cedera apabila serpihan dron melanda sebuah rumah persendirian di daerah Izmail.

Menurut gabenor wilayah Zhytomyr, sistem pertahanan udara memintas 10 sasaran udara dan serpihan dron berkenaan merosakkan 10 rumah persendirian dan satu kemudahan infrastruktur.

Ketua Pentadbiran Tentera Kiev, Serhiy Popko, berkata, dron menyerang ibu negara dari arah berbeza, tetapi semuanya musnah. Popko berkata tiada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa di Kiev.

Secara berasingan, pihak berkuasa di wilayah selatan Kherson berkata, seorang lelaki telah terbunuh di jalanan selepas dron menjatuhkan bahan letupan ke atasnya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI