fb fb fb fb fb

Serangan bandar Rafah akan menjadi malapetaka kemanusiaan

Kawasan perlindungan rakyat Palestin di Rafah/REUTERS

BAITULMAQDIS, 15 Februari- Serangan Israel ke atas bandar Rafah akan menjadi malapetaka kemanusiaan.

Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock berkata seramai 1.3 juta penduduk Palestin sedang mencari perlindungan di Bandar Rafah, dalam ruang yang sangat kecil.

Beliau berkata penduduk Palestin tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.

Katanya, jika tentera Israel melancarkan serangan ke atas Rafah, ia akan menjadi malapetaka kemanusiaan.

"Jerman mendesak Kesatuan Eropah (EU) untuk mengkaji sekatan terhadap pelampau yang menyerang Palestin di Tebing Barat, selepas Perancis, Washington dan Britain mengenakan sekatan ke atas pelampau yang ganas", katanya dalam sidang media di Baitulmaqdis.

"Mari kita bersetuju mengenai sekatan bersama di Eropah. Untuk ini kita memerlukan semua 27 negara anggota. Kami sebagai orang Jerman telah mendorong ini di laluan Eropah," katanya.

Tambahnya, di zon pergerakan bebas Schengen, larangan kemasukan negara hanya boleh berkuat kuasa jika ia digubal oleh seluruh blok.

Sementara itu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan maut Israel di Gaza meningkat kepada 28,576 orang, sejak konflik Palestin-Israel pada 7 Oktober, tahun lalu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN