MOSCOW, 27 Mei- Rusia sedia menyelamatkan dunia daripada terus dihimpit krisis makanan.
Presidennya, Vladimir Putin berkata, Rusia sedia memberi sumbangan besar menangani isu tersebut sekiranya negara-negara Barat menarik balik sekatan ke atas Moscow.
Menurut Putin, antara langkah awal yang akan diambil adalah menjaga keselamatan pengemudian, termasuk pembukaan koridor kemanusiaan untuk kapal-kapal awam keluar dari pelabuhan Azov dan Laut Hitam.
(Foto fail /AFP)
Ia membolehkan pembekalan baja, gandum yang menyumbang 30 peratus bekalan dunia dan komoditi lain dari Rusia dan Ukraine dapat dibekalkan keluar.
Presiden Rusia itu juga menolak dakwaan negara itu wajar dipersalahkan atas krisis bekalan makanan pada pasaran global, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Rusia dikenakan sekatan selepas Putin mengarahkan tentera Rusia mencerobohi Ukraine pada 24 Februari lalu. -AFP
Berita berkaitan
Putin gembira banyak syarikat asing tinggalkan Rusia, beri peluang peniaga tempatan
Bank Rusia turunkan faedah perbankan