fb fb fb fb fb

Qatar usaha capai gencatan senjata Gaza bersama pentadbiran Trump

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Donald Trump/AFP

DOHA, 7 Disember- Qatar sedang berusaha berunding dengan pentadbiran baharu Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump mengenai gencatan senjata di Gaza.

Perkembangan itu berlaku selepas Qatar melihat momentum baharu untuk perbincangan berkenaan susulan keputusan pilihan raya AS, menurut Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

"Kami melihat banyak dorongan positif daripada pentadbiran yang bakal memegang tampuk kepimpinan Amerika Syarikat untuk mencapai perjanjian, malah sebelum Presiden secara rasmi mengambil alih jawatan.

"Ini telah mendorong kami untuk menggerakkan semula usaha dan meletakkan perbincangan kembali di landasan yang betul," katanya pada satu persidangan di sini hari ini.

Qatar berharap dapat mencapai perjanjian sebelum Trump secara rasmi memegang jawatan pada 20 Januari depan.

Utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff dilaporkan telah bertemu secara berasingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Sheikh Mohammed pada akhir November.

Perang di Gaza yang telah berlangsung lebih 14 bulan menyaksikan lebih 44,000 rakyat Palestin terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. -Reuters

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA