RIO DE JANEIRO, 20 November- Presiden Paraguay, Santiago Pena, telah dibenarkan keluar hospital di Rio pada Selasa selepas menghabiskan satu malam di situ akibat jatuh sakit ketika menghadiri sidang kemuncak G20, menurut kenyataan pihak hospital.
Pena, 46, telah dibawa ke Hospital Samaritano di Rio de Janeiro selepas media tempatan melaporkan beliau mengalami sakit dada dan saksi mengatakan beliau dikejarkan dari tempat sidang kemuncak dengan ambulans.
"Ketua negara telah dibenarkan keluar hospital awal pagi tadi dan bebas untuk meneruskan agendanya," kata pihak hospital dalam satu kenyataan.
Mereka juga memaklumkan bahawa doktor telah menolak kemungkinan masalah jantung atau sebarang penyakit serius.
Dalam satu video yang dikeluarkan oleh pejabat presiden Paraguay, Pena memaklumkan bahawa beliau telah pulih.
Menteri Kesihatan Paraguay, Maria Teresa Baran, berkata keputusan ujian Pena menunjukkan semuanya normal dan beliau sihat namun dinasihatkan untuk berehat.
Walaupun Paraguay bukan anggota G20, Pena dijemput ke sidang kemuncak tersebut bersama pemimpin bukan blok lain oleh tuan rumah, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dari Brazil.
Sebelum jatuh sakit, Pena telah memberi pembentangan mengenai situasi ekonomi negaranya kepada peserta sidang kemuncak, terutamanya mengenai pengurangan kemiskinan.
Dalam video itu, Pena, yang kelihatan ceria, berkongsi tentang beberapa hari yang penuh emosi, termasuk sambutan hari lahirnya pada hari Sabtu dan perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Paraguay dan Bolivia.
"Semua emosi ini sedikit sebanyak mengganggu keadaan saya," jelas Pena, sambil menambah bahawa kini beliau "kuat" untuk mewakili negaranya pada penutupan mesyuarat G20 pada hari Selasa.-AFP