JAKARTA, 21 Oktober- Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni menyatakan keyakinannya bahawa Presiden, Prabowo Subianto tetap komited untuk memajukan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Wilayah Kalimantan Timur, lapor Agensi Berita ANTARA.
Antoni membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap Prabowo yang tidak memberi penekanan kepada pembangunan pusat pemerintahan masa depan Indonesia dalam ucapan sulungnya sebagai presiden di Kompleks Parlimen, Jakarta pada Ahad (20 Oktober).
"Prabowo mempunyai komitmen yang kuat terhadap pembangunan IKN. Beliau telah berulang kali menegaskan akan meneruskan dan menyelesaikan (pembangunan itu)," katanya kepada media sebelum pelantikannya sebagai menteri di Istana Merdeka, Jakarta, pada Isnin.
Ketika ditanya mengenai kesinambungan peranannya sebagai pemangku timbalan ketua Pihak Berkuasa IKN (OIKN) bersama pemangku Ketua IKN Basuki Hadimuljono, Antoni menyatakan bahawa presiden akan mengumumkan keputusannya mengenai perkara itu.
Prabowo melantik "Kabinet Merah Putih" untuk penggal eksekutif 2024-2029, melantik 41 menteri, tujuh menteri penyelaras dan lima pembantu presiden bertaraf menteri.
Bagaimanapun, ketua negara Indonesia yang baharu itu masih belum menyentuh mengenai kepimpinan OIKN.
Nusantara merupakan projek mega pemindahan ibu kota dari Jakarta yang dipelopori oleh Presiden Ketujuh Joko Widodo (Jokowi).
Semasa berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan di bawah Kabinet Indonesia Maju Presiden Jokowi, Prabowo berjanji untuk meneruskan pembangunan Nusantara sebaik sahaja beliau mengambil alih kepimpinan negara bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.- BERNAMA
BERITA BERKAITAN: