JAKARTA, 21 Oktober – Prabowo Subianto yang dilantik sebagai Presiden Indonesia kelapan berjanji untuk menangani masalah dalaman negara, terutamanya rasuah dan memacu Indonesia ke arah negara berdikari.
Pemimpin berusia 73 tahun itu telah mengalami perubahan besar, daripada bekas komander tentera yang pernah menghadapi dakwaan pencabulan hak asasi manusia, kepada kini memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dengan populasi 280 juta.
Prabowo, yang pernah bertanding dua kali sebelum ini tetapi gagal, kini dilihat sebagai pemimpin yang berjanji untuk menyatukan rakyat.
Ketika berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan pada Ahad, Prabowo menegaskan bahawa rakyat Indonesia mesti dibebaskan daripada segala bentuk ketakutan, kemiskinan dan penindasan.
Beliau juga berjanji untuk mencapai kemandirian dalam sektor makanan dan tenaga dalam tempoh lima tahun.
“Kita mesti sentiasa sedar bahawa negara yang merdeka adalah negara di mana rakyatnya bebas. Mereka mesti dibebaskan daripada ketakutan, kemiskinan, kelaparan, kejahilan, penindasan dan penderitaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa demokrasi yang diamalkan mestilah beradab, dengan perbezaan pendapat yang tidak berakhir dengan permusuhan.
Prabowo turut mengumumkan barisan kabinet baharunya akan dilantik, hari ini.
Beberapa jawatan penting dalam bidang ekonomi dikekalkan seperti di bawah pentadbiran Jokowi.
Antaranya, Sugiono, seorang bekas anggota pasukan khas tentera, dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.
Dalam dasar luar negeri, Prabowo menegaskan bahawa Indonesia akan terus bersikap tidak berpihak di peringkat global, sambil menyatakan sokongan penuh terhadap rakyat Palestin dan berjanji untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Prabowo dilihat sebagai "calon kesinambungan" semasa kempen pilihan rayanya, dengan jaminan untuk meneruskan pembangunan yang dimulakan oleh Jokowi.
Namun, dakwaan terhadap Prabowo berkaitan penculikan aktivis dan pencabulan hak asasi manusia pada tahun 1998 telah membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan demokrasi Indonesia.-REUTERS